BINTANG TV realiti Korea Selatan, Song Ji-a menerima padah gara-gara kontroversi menggunakan barangan mewah palsu atau ciplak.

Dia yang popular menerusi program Single's Inferno kini diketepikan daripada muncul dalam episod terbaharu program The Manager.

"Selepas mengadakan perbincangan, kami telah memutuskan untuk tidak menyiarkan rakaman yang membabitkan Song Ji-a", kata wakil program tersebut.

Penampilannya di beberapa program lain, antaranya Omniscient Interfering View dan Knowing Bros, juga dilaporkan telah disunting.

Song, juga seorang YouTuber dan influencer yang dikenali dengan nama FreeZia baru-baru ini dikritik selepas netizen mendapati barang kemas, aksesori dan pakaian yang digunakan kononnya daripada jenama mewah seperti Dior, Chanel dan Van Cleef & Arpels adalah palsu.

Isnin lalu, Song menyiarkan permohonan maaf di akaun Instagramnya, dan mengakui bahawa tuduhan yang dibuat terhadapnya memang benar.

“Saya telah memadam semua video dan gambar yang mengandungi barangan ciplak itu. Saya juga ingin memohon maaf kepada semua jenama terbabit," katanya.