JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia bakal membuat siasatan lanjut mengenai kandungan saluran Youtube milik pelakon terkenal, Baim Wong dan isterinya, Paula Verhoeven berikutan kandungan yang dikatakan mengandungi ‘gurauan’ Keganasan Rumah Tangga (KDRT).

Memetik laporan media Indonesia, ‘gurauan’ pasangan ini yang hadir ke Balai Polis Kebayoran Lama di Jakarta Selatan untuk membuat laporan palsu boleh menjurus ke perilaku jenayah.

“Kita selaraskan perbuatan ini boleh menjurus kepada tindakan jenayah kerana dia membuat laporan palsu," kata Ketua Perhubungan Polis Republik Indonesia Metro Jakarta Selatan AKP, Nurma Dewi, hari ini.

Tambah Nurma, pasangan ini boleh dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan jenayah dan pihak berkuasa bercadang memanggil Baim Wong dan isteri untuk siasatan lanjut.

"Kami bercadang untuk memanggil Baim dan isteri untuk berbincang dengan Ketua Balai Polis Kebayoran Lama," katanya.

Terdahulu, laporan gurauan mengenai keganasan rumah tangga (KDRT) dirakam untuk tontonan saluran YouTube milik Baim Wong dan Paula.

Namun begitu, video berkenaan telah dipadamkan beberapa jam selepas ia dimuat naik ke platform Youtube berkenaan. 

Video yang bertajuk 'Keganasan Rumah Tangga Baim, Paula Mengalami Visum Tonton sebelum diturunkan' ternyata menimbulkan kemarahan netizen Indonesia.

Dalam video itu, Baim Wong dipercayai mengajak isterinya melakukan gurauan dengan berpura-pura menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan mangsa gurauan itu adalah anggota polis yang mengambil laporan.

Terdahulu, dunia hiburan Indonesia gempar selepas perkahwinan selebriti terkenal Indonesia iaitu Rizky Billar dan Lesti Kejora dilaporkan sedang bergolak selepas berlaku tindakan keganasan rumah tangga (KDRT).

Gara-gara itu Rizky bakal dipanggil pihak polis bagi memberi keterangan susulan laporan melakukan keganasan rumah tangga.