SETELAH kehilangan ayah tercinta, bintang Gegar Vaganza 9 (GV9), Dina Nadzir mendedahkan, dia hampir menarik diri dan sudah berputus asa daripada menyertai program berkenaan. 

Bagaimanapun, jelas Dina, dengan berbekalkan semangat insan tersayang di sekelilingnya, hal itu menjadi asbab untuk dia meneruskan perjuangan di atas pentas GV9. 

“Malam ayah saya meninggal itu saya dah reda dan tidak kisah jika tersingkir, anggap rezeki saya sampai di minggu keenam sahaja. Saya hanya bersyukur sebab semuanya kehendak Allah. 

“Tapi dengan adanya kawan-kawan saya yang ‘gila’ inilah punca untuk saya teruskan, mereka kata jangan stop, perjuangan perlu diteruskan walaupun jujur saya katakan saya sudah give up sebenarnya. 

“Kemudian keluarga dan saudara mara jauh semua kata arwah ayah mesti nak tengok saya terus fight dalam pertandingan ini, saya buat untuk abah. 

“Untuk bawa semangat abah, sebab itu saya bawa sekali tongkat arwah dalam persembahan saya, walaupun itu tongkat biasa sahaja ada ukiran-ukiran sedikit, dari Johor saya bawa tongkat itu,” kongsinya. 

Dina ditemui pada sesi sidang media usai konsert minggu ketujuh GV9 yang berlangsung dari Dewan Auditorium MBSA pada Ahad. 

Dalam pada itu, pelantun lagu Malu Tapi Mahu itu menjelaskan tujuan dia mengajak sama beberapa rakan penyanyi sewaktu persembahan adalah untuk memberi kekuatan kepadanya. 

“Saya nak nyanyi seorang diri minggu ketujuh ini saya rasa macam tak kuat, sebab itu saya ajak beberapa rakan-rakan yang sangat rapat dengan saya, itu yang ada Alvira, Cikgu Delly, Atilia dan Nadia Aqillah sekali. 

“Masa rehearsal mereka tiada, tapi tadi bila mereka ada saya terus rasa lain, segalanya berlaku dengan baik dan cantik sekali, ditambah pula dengan energy penonton ketika itu, semangat saya lain macam masa nak mula persembahan,” tambahnya. 

Terdahulu, persembahan Dina menerusi lagu Lady Marmalade nyanyian asal LaBelle telah menerima markah 77.10 peratus. 

Artikel asal disiarkan di Gempak.