Telefilem Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman (HHTSS) yang akan ditayangkan kepada umum di saluran 952 Tayangan Hebat Astro Box Office Movies mulai hujung minggu ini boleh disifatkan sebagai satu perjalanan proses kreatif atau kembara seni dua tokoh utama seni lakon tanah air yang cukup menarik.

Sabri Yunus yang mengarahkan telefilem itu dan Wan Hanafi Su yang memainkan watak Pak Hassan sebelum ini pernah terlibat dalam pementasan teater dengan judul yang sama yang diangkat daripada novel karya Sasterawan Negara, Datuk Dr. Anwar Ridhwan.

"Teater itu adalah teater pertama penglibatan saya dalam bidang lakonan, jadi tentunya amat mendalam cerita ini kepada saya," kata Sabri dalam satu wawancara mengenai pembikinan telefilem berkenaan.

Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman

HHTSS yang menang Hadiah Peraduan Mengarang Novel anjuran Yayasan Sabah/Gapena pada tahun 1979 diangkat ke pentas oleh Badan Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1984. Ia dipindahkan daripada novel ke pentas oleh Datuk Johan Jaaffar yang menulis skrip dan mengarah teater itu.

Sepanjang hampir 30 tahun selepas pementasan pertama itu, Sabri tumbuh menjadi seorang pelakon pentas yang dihormati serta pelawak yang disegani. Sejak beberapa tahun lalu, beliau mula memerah kreativitinya sebagai pengarah telefilem dan membuktikan kewibawaannya termasuk melalui Sanggul Beracun yang menang Hadiah Drama Terbaik Anugerah Skrin 2011.

Wan Hanafi Su pula merupakan pelakon yang bersengat di pentas dan di skrin biarpun bakat besarnya tidak begitu dipedulikan kecuali di kalangan mereka yang tahu dan mengerti.

Beliau memainkan watak Pok Eng dalam Bunohan yang lakonannya dipuji tetapi tercicir daripada sebarang pencalonan dalam Festival Filem Malaysia ke-25.

"Ini proses kematangan yang berlaku kepada dua orang yang terbabit secara langsung dalam Hari-hari Terakhir Seorang Seniman. Ini saya percaya satu pusingan yang cukup menarik," kata Johan.



HHTSS yang mengambil latar zaman Perang Dunia Kedua mengisahkan tentang seorang penglipur lara yang mengharungi zaman malapnya setelah kehilangan isteri, Selamah. Hidup Pak Hassan bersama dua anaknya, Senah (Mardiana Alwi) dan Mat Junuh (Ameerul Effendy) tidak habis dirundung malang yang bertimpa.

Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman

Telefilem ini diterbitkan oleh Syahid Johan daripada Balang Rimbun Sdn. Bhd. yang sebelum ini menerbitkan antara lain Sanggul Beracun, Sebuah Piala Seekor Kambing dan Parut Ashikin.

Sebagai penulis novelnya, Anwar cukup memahami perbezaan kaedah penceritaan antara teks yang dibaca dengan teks yang ditonton.

"Saya membenarkan kaedah-kaedah ini dimanipulasi dan juga ditangani dengan sebaik mungkin melalui sudut pandangan seni dan juga bagi tujuan-tujuan penontonan dan juga kesan seni yang terbaik," katanya.

Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman

Selebihnya, beliau mempunyai keyakinan yang tinggi kepada Sabri yang disifatkannya sebagai "bukan orang yang asing" dengan kisah Pak Hassan dan Cerita Si Gembang dan Teluk Bidung Kota Lama itu.

"Saya kira dia mendewasa dengan novel ini. Apabila beliau memperoleh novel ini untuk dijadikan filem, saya rasa dia mempunyai kemampuan seni dan intelektual untuk mentafsir novel ini dan mempersembahkan sebuah filem yang setia dengan teksnya tetapi menarik dari aspek-aspek kesenian yang lain," tambah Anwar.

Dengan pengalaman pernah 'hidup' dalam teks HHTSS, Sabri tidak berdepan banyak masalah untuk memindahkan kisah Pak Hassan ke skrin

"Kerja itu tidak terlalu sukar kerana jambatannya ialah teater tersebut. Kalau tidak ada teater susah juga rasanya," katanya dalam satu pertemuan dengan Astro AWANI baru-baru ini.

HHTSS ditayangkan secara eksklusif melalui slot Tayangan Hebat Astro Box Office Movies di saluran 952 sepanjang Jun ini.

Untuk foto keseluruhannya, klik Galeri Foto di sini.