BARCELONA: Penyanyi pop terkenal Shakira mendedahkan perbuatan curang pasangannya, pemain pertahanan Barcelona FC, Gerard Pique akhirnya terbongkar selepas mendapati jem strawberi di kediaman pasangan ini ‘berusik’.

Memetik laporan Mirror, penyanyi berusia 45 tahun ini memberitahu dia  menemui 'kebenaran' di dalam peti sejuk.

Mengimbas perkara itu, Shakira yang baru sahaja tiba di rumah berasa pelik memandangkan sepanjang hidup bersama, Pique tidak pernah menikmati jem strawberi. Begitu juga dengan dua anak pasangan ini, Milan dan Sasha yang tidak suka menikmati jem berkenaan.

Untuk rekod, Shakira dan Pique mengumumkan berpisah pada Jun tahun lalu selepas 12 tahun hidup bersama.

Pique kini dikhabarkan menjalin hubungan dengan Clara Chia Marti, 23, sejak Oktober lalu. Namun terdapat laporan memberitahu pasangan ini sudah memulakan hubungan romantik sejak Pique masih bersama Shakira lagi.

Dalam pada itu, Shakira mengangkat kisah kecurangan Pique menerusi muzik video 'Te Felicito'.

Selepas pasangan ini berpisah, Shakira dilaporkan merancang membawa dua anaknya berpindah ke Miami, Amerika Syarikat, jauh dari bekas pasangannya.

Bagaimanapun, oleh kerana keadaan bapa Shakira yang berusia 91 tahun tidak sihat dan dimasukkan ke hospital di Barcelona, rancangan untuk berpindah perlu ditunda sementara.

Sementara itu, pertelingkahan Shakira dengan bekas pasangannya, Pique dikatakan menjadi inspirasi dalam lagu single ‘balas dendam’ yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.