Apple hari ini dijangka akan memperkenalkan iPhone terbaharu dan berkemungkinan akan mengeluarkan jam tangan pintar dalam usaha mengemaskini produk dari syarikat gergasi itu.

Tumpuan peminat iPhone lebih kepada ciri-ciri utama iPhone 7 berskrin 4.7 inci ini termasuk cip pemproses A10 yang lebih efisyen, kamera sofistikated dan butang 'home' peka tekanan (pressure sensitive).

Apple dijangka terus memikat penggemar 'phablet' melalui iPhone 7 Plus yang berskrin 5.5 inci teknologi dwi-kamera yang telah diperkenalkan oleh pesaing seperti LG dan Huawei sebelum ini.

Khabar angin juga bertiup kencang tentang perubahan iPhone yang tidak lagi menggunakan 3.5mm headphone jack (bicu fon kepala) untuk mencapai rekabentuk yang lebih nipis dan sofistikated.

Majlis pelancaran ini juga akan mempamerkan peranti audio tanpa wayar buatan Beats sesuai dengan ciri baharu iPhone 7.

Selain dari iPhone7, ura-ura produk siri baharu yang bakal diperkenalkan termasuk iPhone 7 Plus, MacPro, MacBook dan Apple Watch 2.

Pasaran jam pintar akan dimeriahkan dengan Apple Watch 2 yang akan dilengkapi teknologi GPS, pemproses lebih pantas dan bateri yang tahan lebih lama.

Ini sejajar dengan tradisi syarikat gergasi tersebut yang lazimnya memperkenalkan siri baharu produk mereka pada bulan September.

Peminat teknologi turut menantikan respon Apple terhadap skandal bateri meletup Samsung Note 7 yang memaksa syarikat itu menarik semula dari beberapa pasaran antarabangsa.

Peminat Apple di seluruh dunia teruja untuk menyaksikan kemeriahan pelancaran iPhone 7 di San Francisco, Amerika Syarikat pada jam 1 pagi (waktu Malaysia) di laman web rasmi apple.com melalui pelayar Safari.

“Walaupun iPhone 7 tidak diubah suai secara total, saya mengharapkan Apple akan mengumumkan inovasi menarik untuk mempertahan keunggulannya,” kata penganlisis, Thomas Husson.

“Ini masa yang cukup ideal untuk menguji kekuatan pemerolehan Beats tidak lama dahulu dengan pembaharuan peranti audio terbaharu ini – termasuk servis pembantu peribadi digital berasaskan suara, Siri dengan langganan Apple Music.