JAKARTA: Nasib malang yang menimpa penyanyi Indonesia, Lesti Kejora, mendapat perhatian rakan-rakan artis di negara itu.

Paling lantang bersuara adalah Inul Daratista, yang sudah mengenali Lesti sejak di awal remaja.

"Jika saya tahu yang kamu [Lesti Kejora] dipukul, bukan ibu bapa kamu sahaja, saya juga akan bantu serang dia (suami Lesti)," kata Inul dalam catatan di Instagram.

"Saya sayangkan kamu, kamu anak yang kuat," kata Inul dalam hantaran tersebut, sambil menyatakan dia sudah hilang rasa hormat terhadap suami Lesti yang juga seorang penyanyi, Rizky Billar.

Lesti, yang dilaporkan dipukul suaminya, dikatakan belum membuat keputusan untuk bercerai.

"Setakat ini Lesti belum berbincang apa-apa dengan saya mengenai tuntutan perceraian. Lagipun dia masih lagi dirawat di hospital,” kata peguam Lesti, Sandy Ariffin.

Pada masa sama, Sandy memaklumkan bahawa penyanyi yang popular menerusi lagu Takdir Cinta itu juga akan menjalani rawatan psikologi selain fizikal untuk memulihkan semula keadaannya.

Lesti menerima rawatan di sebuah hospital di Jakarta sejak Khamis lalu selepas selesai disoal siasat berhubung laporan terhadap suaminya.

Wakil Polis Jakarta Selatan memaklumkan kekerasan dalam rumah tangga (KDRT) berlaku sebanyak dua kali iaitu pada 28 dan 30 September di Cilandak, Jakarta Selatan.

Lesti, 23, dan Rizal, 27, berkahwin Ogos tahun lalu dan dikurniakan seorang anak lelaki, Leslar Al Fatih.