KUALA LUMPUR: Berita pergolakan rumah tangga antara pasangan pelakon Farid Kamil Zahari dan Diana Danielle bukan sahaja mengejutkan seluruh industri seni tanah air.

Sebaliknya, keluarga aktor itu juga tidak ketinggalan terkejut dengan apa yang sedang berlaku dalam kehidupan peribadi Farid Kamil.

Menurut adiknya, Fadzil Zahari, berita pergolakan rumah tangga abangnya dengan Diana adalah kejutan untuk mereka.

Bagaimanapun, dalam masa sama, kata Fadzil, dia dan keluarga sentiasa berdoa agar ada kata sepakat dan keputusan terbaik untuk Farid dan Diana.

"Kalau orang ramai pun terkejut, keluarga kami apatah lagi sebab tak ada apa-apa bayangan, tiba-tiba jadi begitu.

"Nak tanya tuan badan pun, kita tak tahu keadaan dia bagaimana. Saya sampaikan kepada mama kalau contact Farid cakap kat dia supaya sabar dan tabah. Adik-adik memang sentiasa doakan dia. Insya-Allah.

"Kalau ikutkan saya tak mahu komen. Tapi, apa yang saya boleh cakap, saya doakan mereka dapat kata sepakat terbaik," kata Fadzil seperti dilaporkan portal berita Harian Metro.

Fadzil turut memaklumkan, keputusan yang dibuat abang dan kakak iparnya itu perlu melihat pelbagai aspek termasuklah anak-anak.

"Tak boleh tengok kedua belah pihak sahaja, tapi, kena tengok (kesan kepada) anak-anak juga. Kena ambil kira semua aspek untuk keputusan terbaik," katanya.

Fadzil juga berkata, dia ada bertemu dengan abangnya dalam tempoh sebulan terakhir ini.

"Dalam sebulan terakhir ini, saya ada jumpa dia. Kebetulan mak dan abah ada di rumah. Jadi ajak dia lepak sekali.

"Perbualan pun, benda biasa, dan kebanyakan berkisar mengenai kerja dan filem dia. Kalau dia buka cerita, baru kita dengar. Kalau tak, kami pun tak tanya.

"Apa yang boleh kami buat, kami beri sokongan semangat kepada dia. Dia tulis kat media sosial, dia rindukan anak-anak semua. Saya sebagai adik, minta dia bersabar dan sebagainya," ujar Fadzil lagi.

Berita rumah tangga pasangan itu berantakan menjadi perhatian apabila Diana dilaporkan memfailkan perceraian pada minggu lalu.

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata.