KELUARGA Kardashian dan Jenner mungkin tidak akan dijemput ke acara Met Gala tahun ini.

Portal Page Six melaporkan Ketua Pengarang Vogue, Anna Wintour mengambil serius dalam meneliti senarai tetamu untuk acara itu tahun ini, dan nama kedua-dua keluarga itu mungkin tercicir dari senarai.

Menurut satu sumber, "tiada anggota keluarga Kardashian" akan dijemput walaupun lima beradik perempuan terkenal itu hadir bersama buat kali pertama tahun lalu.

Namun sumber yang rapat dengan keluarga itu berkata dakwaan itu tidak benar.

Khloé Kardashian tahun lalu mendedahkan dia pernah menolak jemputan ke Met Gala kerana masalah anxiety membuatkannya bimbang untuk muncul di karpet merah.

Sejak 1995, Wintour akan memutuskan senarai tetamu acara tersebut, yang diadakan setiap tahun pada hari Isnin pertama pada bulan Mei bagi membantu mengumpul dana untuk Muzium Seni Metropolitan.

Kim Kardashian pertama kali menghadiri Met Gala pada 2013 bersama bekas suaminya, Kanye West.

Sejak itu, sudah menjadi rutin untuknya melalui karpet merah, dengan penampilannya tahun lalu mencetuskan kontroversi apabila dia mengenakan pakaian ikonik Marilyn Monroe.