Kenangan bersama A. Ali akan dihargai sampai bila-bila - M. Nasir

Irwan Muhammad Zain
November 23, 2020 11:59 MYT
Bagi M. Nasir, A. Ali bukan hanya pemuzik malah seorang komposer hebat yang telah mencipta banyak lagu popular. - Gambar fail
PEMERGIAN komposer terkenal A. Ali atau nama sebenarnya Hamdan Atan sedikit sebanyak memberi kesan kepada rakannya dalam kumpulan Kembara, Datuk M. Nasir.
Bagi komposer ternama itu, banyak kisah pahit manis yang dilalui beliau bersama Allahyarham sepanjang bersama Kembara yang akan dihargainya sampai bila-bila.
Menurut seniman itu, perkenalannya dengan A. Ali bermula sekitar tahun 70-an di Singapura ketika Allahyarham bermain muzik di majlis-majlis perkahwinan dan kelab-kelab malam sekitar Kota Singa itu.
Komposer yang digelar sifu itu mengakui meminati gaya permainan A. Ali yang tersendiri ketika sering menonton persembahan pemuzik itu di Singapura.
"Aku mengenali Ali di sekitar tahun 70-an di Singapura. Waktu itu dia bermain di majlis majlis perkahwinan dan kelab-kelab sekitar Singapura. Aku sering menonton persembahan dia pada waktu itu dan aku meminati gaya permainan dia yang tersendiri.
"Setelah dia keluar dari Sweet Charity, aku mengajaknya untuk menubuhkan Kembara bersama S. Sahlan, Eddy Ali dan Eddynor Ali. Banyak kisah pahit manis aku bersama dia sepanjang perjalanan kami yang akan aku hargai sampai bila bila," tulis M. Nasir menerusi akaun Twitter peribadinya.

Aku mengenali Ali di sekitar tahun 70an di Singapura. Waktu tu dia bermain di majlis majlis perkahwinan dan kelab kelab sekitar Singapura. Aku sering menonton persembahan dia pada waktu itu dan aku meminati gaya permainan dia yang tersendiri. pic.twitter.com/gJtUTnHDsK

— M.Nasir (@mnasirmohdnasir) November 23, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

Setelah dia keluar dari Sweet Charity, aku mengajaknya untuk menubuhkan Kembara bersama S.Shahlan, Eddy Ali dan Eddynor Ali. Banyak kisah pahit manis aku bersama dia sepanjang perjalanan kami yang akan aku hargai sampai bila bila.

— M.Nasir (@mnasirmohdnasir) November 23, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Bagi M. Nasir juga, A. Ali bukan sekadar pemuzik, malah seorang komposer hebat yang telah mencipta banyak lagu popular.
"Salam takziah aku ucapkan pada keluarganya. Semoga rohnya diberkati, dirahmati dan berada di kalangan orang-orang beriman," katanya.

Beliau bukan saja seorang pemuzik malah seorang komposer hebat yang telah mencipta banyak lagu lagu hits. Salam takziah aku ucapkan pada keluarganya. Semoga ruhnya diberkati, dirahmati dan berada di kalangan orang orang beriman.

— M.Nasir (@mnasirmohdnasir) November 23, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
A. Ali, 71, meninggal dunia dalam tidur di kediamannya di Kajang pada Sabtu.
BACA: Komposer terkenal A. Ali meninggal dunia
Pada pertengahan 70-an, A Ali pernah menganggotai kumpulan Sweet Charity, iaitu band rock yang diasaskan vokalisnya, Datuk Ramli Sarip dan teman-teman di Singapura.
Allahyarham meninggalkan kumpulan itu ketika dalam proses penerbitan album pertama.
Sebelum bersama Sweet Charitty, A. Ali juga pernah merakamkan gitar untuk rakaman kumpulan Mike Ibrahim and The Nite Walkers pada awal 70-an.
Selepas meninggalkan Sweet Charity, A. Ali banyak membuat persembahan di kelab-kelab malam sebelum menyertai M. Nasir menubuhkan Kembara bersama seorang lagi penyanyi S. Sahlan (Roslan Tajuddin).
Ketika bersama Kembara, A. Ali diingati dengan lagu Di Perhentian Pudu Raya, Penjual Surat Khabar, Oh Bulan dan Ada Sepasang Mata.
A. Ali kemudiannya meninggalkan Kembara dan menubuhkan kumpulan Pelangi bersama John Goh dan popular dengan lagu Biar Ku Menjadi Lilin, Lukisan Wajah Cinta dan beberapa lagu lain.
Kali terakhir A. Ali beraksi di pentas ialah ketika Konsert Hati Emas Kembara di Panggung Sari Istana Budaya pada November 2014.
Tahun sebelumnya A.Ali, M. Nasir dan S. Sahlan mengadakan konsert reunion kumpulan tersebut, Konsert Ekspres Rakyat yang diadakan di Esplanade Singapura.
BACA: Konsert Hati Emas Kembara untuk kembalikan semangat lama - M.Nasir
Sebagai komposer A. Ali juga akan diingati dengan lagu Sampaikan Salam Cintaku dendangan Alleycats, Diriku Terbelenggu (Francissca Peter), Menaruh Harapan (Zaiton Sameon), Rayuanku (Rohana Jalil) dan beberapa lagu lain.
#M Nasir #A Ali #kembara #Oh Bulan #Di Perhentian Pudu Raya #Penjual Surat Khabar #Menaruh Harapan