KUALA LUMPUR: Umum mengenali pelakon terkenal, Rozita Che Wan sebagai seorang yang sentiasa mementingkan penampilan diri.

Setiap rekaan fesyen yang membaluti tubuh Rozita atau mesra disapa Che Ta sering menjadi tumpuan peminatnya.

Terbaharu, ketika menghadiri Kuala Lumpur Fashion Awards (KLFA) 2021 di sebuah hotel terkemuka tanah air petang semalam, kelibatnya menjadi bahan perdebatan penonton.

Pelakon kelahiran  Kedah yang juga 'muse' pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail hadir dengan persalinan yang luar biasa apabila berfesyen dengan menutup mukanya dengan kain jaring atau 'net' yang ditinta dengan batu berlian berwarna perak sepanjang majlis berlangsung.

Berikutan penampilan itu, ibu kepada tiga cahaya mata itu sentiasa diperhatikan sepanjang acara berkenaan berlangsung.

Pada acara itu, Che Ta  menyarung gaun moden rona hitam rekaan Ezuwan menggunakan fabrik jenis twill yang dijahit penuh dengan lebih 5,000 butir batu berlian dan 'chunky bead'.

Astro AWANI difahamkan, gaun berkenaan menelan kos RM50,000 itu dan Ezuwan mengambil masa selama sebulan untuk menghasilkannya.

Menurut Ezuwan, ini adalah kerana persalinan itu dihasilkan dengan jahitan tangan.

Bahkan, katanya, sarung tangan dan pelitup muka rona sama masing masing menggunakan 'net' juga bertatah berlian berwarna perak.

Tidak hanya membiarkan Che Ta sendirian, sebaliknya, Ezuwan juga turut mengenakan sut hitam berharga
RM40,000 menggunakan fabrik broket dilengkapi 10,000 butir batu 'chunky bead' dan berlian jahitan tangan.

Luar biasa sekali penampilan Rozita Che Wan dan Ezuwan Ismail.

Kemunculan mereka pada acara berkenaan membuatkan ramai yang menggambarkan Che Ta dan Ezuwan seperti pasangan selebriti Hollywood, Kim Kardashian dan Kanye West.

Sekalipun, kelihatan menawan dan unik, namun, Che Ta tidak terlepas dihujani pelbaga pertanyaan antaranya yang bertanya tidakkah pakaian itu merimaskan?

Bagi empunya diri,  dia ada sebab kenapa bersetuju untuk mengenakan persalinan itu.

Kata Che Ta, persetujuannya adalah disebabkan menjadi sifatnya gemar melalui pengalaman berbeza seiring dengan perkembangan semasa.

Dalam masa sama, Che Ta sentiasa menghormati dan menghargai rekaan Ezuwan yang juga sahabatnya itu.

"Kami memang berkawan baik. Malah saya rasa permintaannya untuk berfesyen macam ini bukan selalu atau seperti lazimnya. Jadi kenapa saya nak menolak. Ia satu kelainan.

"Lagipun pelitup muka itu menggunakan  kain jaring yang ada terang terang ada lubang atau 'udara'. Memanglah saya boleh bernafas. Kalau guna kain yang bertutup semua tanpa ada 'udara', saya sendiri fikir banyak kali.  Barangkali, semput juga saya jadinya.

"Cuma sedikit mencabar saya harus kekal dengan gaya sebegitu sepanjang majlis. Tetapi sesekali orang tak payah tengok muka kita dalam acara seumpama itu, kenapa tidak. Telefon bimbit pun saya terpaksa abaikan ketika majlis berlangsung," katanya yang turut menjadi penyampai trofi pada acara itu.

Sementara itu, Ezuwan pula menyifatkan pemilihan Che Ta sebagai ‘wajah’ jenamanya itu adalah tepat kerana aktres berkenaan memiliki ciri-ciri dan karakter sebagai seorang peragawati.

"Apabila diundang ke acara itu, nama Che Ta terlintas dan pantas bermain di minda. Cuma apabila dia bersetuju nak tutup wajahnya saya sendiri tak menyangka.

"Semua tahu, dia antara selebriti yang mengutamakan penampilan diri dengan wajah siap bersolek cantik.
Tapi dia jenis yang sederhana dan mudah diajak berbincang.

"Tiada istilah meniru atau dibayangi sesiapapun. Fesyen ini pendek kata kenalah dengan musim pandemik," kata pereka fesyen yang juga bapa kepada dua cahaya mata itu lagi.