PELAKON Dwayne "The Rock" Johnson berkata dia tidak akan menggunakan senjata api sebenar dalam filem selepas insiden pelakon Alec Baldwin yang secara tidak sengaja tertembak dan menyebabkan kematian seorang krew di set pengambaran filem, bulan lalu.

Halyna Hutchins maut selepas terkena peluru yang dilepaskan dari pistol yang digunakan Baldwin untuk sesi latihan bagi salah satu adegan filem berjudul Rust.

Baldwin memaklumkan, dia diberitahu penolong pengarah bahawa pistol itu 'cold', istilah yang digunakan dalam industri perfileman yang bermaksud ia selamat untuk digunakan.

Johnson, yang berada di Los Angeles menghadiri tayangan perdana dunia filem blockbuster terbaharunya, Red Notice, bersama Ryan Reynolds dan Gal Gadot, berkata syarikat produksinya, Seven Bucks Productions, tidak lagi akan menggunakan senjata api sebenar.

"Itu sesuatu yang mengerikan. Saya mengenali Alec (Baldwin) selama bertahun-tahun. Dia sahabat saya, dan saya juga bersedih dengan kejadian itu," katanya sambil memaklumkan syarikatnya hanya akan menggunakan pistol getah selepas ini.

"Saya tidak boleh bercakap bagi pihak syarikat produksi atau studio lain, tetapi apa yang saya boleh beritahu kejadian itu telah membawa perspektif baharu tentang apa yang kita perlu lakukan pada masa hadapan," kata Johnson kepada Reuters.