Komuniti Filem Titiwangsa (Komfit) bercadang mewujudkan sinema komuniti bertujuan memberikan pendidikan filem kepada masyarakat.

Pengasas Komfit, Al-Jafree Md Yusop memberitahu, inisiatif sinema komuniti Komfit ini akan dilaksanakan dengan kerjasama dengan beberapa pihak.

Katanya, inisiatif sinema komuniti Komfit akan dimulakan di Pulau Pinang sebelum ia dikembangkan di negeri-negeri lain.

"Komfit akan bekerjasama dengan beberapa pihak untuk inisiatif sinema komuniti Komfit yang pertama sebelum ke negeri-negeri lain.

"Kami akan berbincang dengan pihak yang berminat dan akan melihat terlebih dahulu perkembangan selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya kepada Astro AWANI.

Beliau menjelaskan idea melaksanakan sinema komuniti ini diambil dari usaha yang dibuat oleh Perbadanan Pembangunan Filem Filipina (FDCP) dan Lembaga Perfileman Argentina (INCAA).

Mengulas lanjut, Al-Jafree menjelaskan sinema komuniti akan menayangkan filem-filem tempatan sahaja kepada pengemar filem.

Selepas setiap tayangan, sesi diskusi filem akan diadakan bersama tokoh-tokoh perfileman yang dijemput memberi ulasan.

"Tayangan filem akan dibuat sama ada sebulan sekali atau sebulan dua kali bergantung kepada keadaan dan sambutan.

"Lokasinya pula boleh dibuat di dewan komuniti atau mana-mana bangunan yang bersesuaian," katanya.

Pengarah filem Mencari Rahmat itu berkata, sebelum ini Komfit telah melaksanakan sinema komuniti di Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Selain itu, Kuala Lumpur Filem School (KLFS) di Wangsa Melawati juga mengadakan sinema komuniti dan sesi bicara filem bersama pengarah terkenal U-Wei HajiSaari.