KONTRAK yang dimeterai anak legenda bola sepak dunia, David Beckham, Brooklyn Beckham dibatalkan walaupun baru lapan bulan dilantik menjadi salah satu wajah kempen jenama fesyen terkenal.

Jenama fesyen tersebut, Superdry, dilaporkan menghentikan kerjasama dengan Brooklyn selepas mendapat banyak respons kurang baik dari dalam kalangan pengguna media sosial dan penggemar barangan keluaran mereka.

Brooklyn, 23, sebelum ini diketahui menandatangi kontrak bernilai RM4.5 juta (£1 million) bersama Superdry pada November tahun lalu sebagai wajah baharu mereka.

Selepas menjadi ‘wajah Superdry’, Brooklyn pun menjalankan tanggungjawab dengan mempromosikan produk terkini jenama tersebut menerusi platform media sosial, termasuk Instagramnya yang memiliki 14 juta pengikut.

Malangnya, kemas kini dan promosi kolaborasi bersama Superdry itu menuai kritikan, lapor DailyMail.UK.

Selain ada yang mendakwa ia menimbulkan konflik kerana Brooklyn juga memiliki kerjasama dengan jenama lain, banyak yang mengatakan pemilihan anak Victoria Beckham itu bertentangan dengan ‘gaya hidup’ Superdry.

Pengguna media sosial mendakwa, produk terkini Superdry bersifat ‘mesra’ gaya hidup sihat seperti memakan sayur sayuran atau vegan.

Ia bertentangan dengan pekerjaan Brooklyn sebagai seorang chef selebriti dan memakan daging!

Malah, Brooklyn dipetik berkata sewaktu memeterai kerjasama dengan mengatakan isterinya, Nicola Peltz menyukai t-shirt dari Superdry kerana ia selesa selain ‘mencuri’ pakai untuk tidur kerana materialnya lembut.

“Saya juga menggemari sehelai jaket dan sepasang kasut yang ‘mesra vegan’. Bagaimana ia mampu terjadi?”katanya.

Ironi, Brooklyn juga menerima kritikan yang teruk di atas predikat selebriti chef melalui program masakannya. Dia didakwa langsung tidak mempunyai bakat memasak, tetapi hanya menggunakan populariti untuk mewujudkan impiannya.