SYARIKAT label muzik Korea Selatan, SM Entertainment mengumumkan kumpulan baharu ‘aespa’ malam tadi.

Syarikat gergasi tersebut memuat naik ‘teaser’ dan logo untuk kumpulan K-pop baharu itu di akaun Twitter rasminya.

SM Entertainment kemudian secara rasmi mengesahkan nama kumpulan baharu itu sebagai ‘aespa’ dan memaklumkan ia akan membuat kemunculan pertama bulan depan.

Agensi tersebut menjelaskan bahawa nama ‘aespa’ merupakan gabungan 'æ', iaitu ‘avatar x experience’ dan perkataan ‘aspect’.



Ia membawa maksud kebolehan menyelami dunia baharu menerusi avatar diri anda.

Perkataan ‘aspect’ juga bermaksud bahawa kumpulan itu mempunyai banyak sisi yang berbeza.

Bagaimanapun, SM Entertainment belum mendedahkan bilangan ahli dalam kumpulan baharu tersebut.

Difahamkan, SM Entertainment akan mendedahkan lebih maklumat mengenai kumpulan itu dan anggotanya pada minggu-minggu akan datang.

‘aespa’ menjadi kumpulan perempuan baharu pertama SM Entertainment sejak kumpulan sensasi Red Velvet yang membuat debut pada 2014.

Ia juga merupakan kumpulan pertama secara keseluruhan agensi tersebut sejak kumpulan terkenal NCT membuat debut pada 2016.