PENYANYI terkenal era 80-an Kylie Minogue mengesahkan dia akan kembali ke Australia selepas 30 tahun menetap di United Kingdom.

Kylie memberitahu BBC Radio, dia akan sering mengunjungi UK selepas berpindah ke negara kelahirannya itu.

"Ramai rakan-rakan menghubungi saya dan memujuk saya untuk kekal di sini.

"Saya tidak akan pergi buat selamanya. Saya telah menetap di sini selama 30 tahun, sudah tentu saya akan kembali melawat," katanya.

Penyanyi berusia 53 tahun itu berkata, dia tidak rasa akan berlaku perubahan besar selepas berpindah ke Australia kerana dia akan sering mengunjungi UK.

Kylie turut mendedahkan dia mungkin akan lakukan jelajah tidak lama lagi.

"Kami dalam perbincangan akhir, saya tidak sabar untuk lakukannya.

"Bersiap sedia dengan pakaian disko," dedahnya pada BBC Radio.

Single terbaharu Kylie bertajuk 'A Second To Midnight' menyaksikan penyanyi itu berkolaborasi dengan bintang 'Years & Years' Olly Alexander.

"Kami baru sahaja siap merakam video muzik beberapa minggu lalu dan saya tidak sabar untuk mendedahkannya kepada orang ramai," katanya.