KENYATAAN Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tentang penyokong kelab Liga Perdana Inggeris terkemuka Liverpool telah mengundang rasa tidak puas hati ramai.

Khairy Jamaluddin ketika ditemu bual secara berseloroh menyamakan sokongan kepada Liverpool seperti sokongan terhadap PAS.

Kebanyakan penyokong kelab berkenaan berpendapat gurauan Khairy Jamaluddin atau lebih mesra disapa sebagai KJ tidak kena tempat kerana mencampur adukkan hal sukan dengan politik.





Antara yang lantang menyuarakan rasa tidak puas hati adalah penyanyi popular, Faizal Tahir.

Faizal menerusi akaun Instagram-nya menyifatkan perkara tersebut sebagai jenaka tidak menjadi.


Sebagai penyokong setia The Reds, Faizal nyata tersinggung dengan kenyataan itu, apatah lagi dia punya rasa hormat yang tinggi terhadap kelab pilihan KJ iaitu Manchester United (MU).

KJ mengeluarkan kenyataan berkenaan ketika sesi Hard Talk semasa Persidangan Pelajar Malaysia ke 9 pada Ahad.