CANNES: Marche Du Film, pameran filem antarabangsa terbesar dunia yang berlangsung di sini sejak 17 Mei lepas merupakan platform terbaik untuk filem Malaysia menembusi pasaran antarabangsa.

Rata-rata penggiat industri kreatif yang menyertai pameran itu melihat acara tahunan tersebut sebagai platform yang membuka peluang kepada penggiat industri kreatif tanah air menjalin kerjasama dengan syarikat produksi antarabangsa terutama dalam penerbitan, pengedaran dan penjualan produk industri kreatif Malaysia ke pasaran global.

Pengarah Eksekutif Multimedia Film Productions Sdn Bhd, Keoh Chee Ang yang pertama kali menyertai pameran filem itu berkata Marche Du Film sedikit berbeza daripada pasaran filem Hong Kong, Shanghai dan Singapura yang pernah disertainya sebelum ini kerana ia lebih menghubungkan penggiat industri dengan negara-negara barat.

"Ia sesuatu yang baik untuk diterokai dan agak menarik... harus diteruskan setiap tahun. Malaysia harus sentiasa menyertainya, ada satu tempat di persada dunia sekurang-kurangnya kita secara perlahan-lahan dikenali dunia," katanya kepada pemberita.



Beliau yang membawa tujuh judul termasuk filem Air Force The Movie ke pasaran filem itu berharap pihaknya dapat menjual produk itu kepada pembeli luar dan pada masa sama memperkenalkan industri perfileman Malaysia kepada mereka.

"Saya menyasarkan untuk menjual filem kita di negara-negara Eropah Barat. Mengikut pengalaman lepas, mereka sangat jarang untuk menonton filem kita, ada antara mereka tidak tahu pun mengenai Malaysia, di mana Malaysia," katanya.

Marche Du Film adalah perhimpunan terbesar industri filem bagi pengeluar, pembiaya, penyiar, pengedar, pembekal dan pembeli dari seluruh dunia untuk bertemu, berkongsi idea serta membuat tawaran.

Sebanyak 250 syarikat dari 110 negara menyertai pasaran filem selama sembilan hari itu bermula 17 Mei.

Berkongsi pendapat sama, Ketua Pegawai Eksekutif KL Television Network Sdn Bhd Faiz Helimi berkata penggiat industri filem seharusnya mengambil peluang yang diberikan tidak hanya kepada penerbitan filem tetapi turut kepada pengedaran filem di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata banyak syarikat produksi dan syarikat pengedaran luar berminat dengan beberapa kandungan yang dibawa oleh penggiat industri filem negara.

"Kalau kita lihat di pasaran antarabangsa mereka sangat memerlukan kandungan dan juga visual yang begitu sinematik yang menggambarkan tentang identiti sesebuah negara.

"Kita memenuhi segala kriteria itu dan saya kira peluang yang ada ini harus diambil dengan sebaik-baiknya oleh penerbit filem tempatan kerana aspek nilai yang cuba kita ketengahkan di dalam kandungan filem kita," katanya yang juga pertama kali menyertai pameran filem itu.



Faiz berkata setakat ini sebuah syarikat dari Venezuela menyatakan minat untuk membuat penerbitan bersama dan pengedaran filem dengan KL Television Network.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Penerbit Barnstorm Entertainment Sdn Bhd Brando Lee berkata persediaan setiap penggiat industri tempatan sangat penting sebelum mereka sampai ke mana-mana pasaran filem termasuk membina hubungan dari awal supaya mudah untuk menjual produk kandungan kreatif di pasaran antarabangsa.

"Memang Marche Du Film ini satu platform yang bagus. Persediaan produser sangat penting sebelum dia sampai sini, tidak boleh harap orang akan jalan-jalan macam beli makanan, sayuran, barang runcit... bukan. Mereka kena ada banyak kenalan, bangunkan rangkaian dengan mereka (penggiat industri antarabangsa).

"Yang penting produk itu kena ada tahap yang boleh diterima oleh orang ramai, itu sangat penting. Sebab di pasaran antarabangsa banyak pilihan, pelbagai bahasa dan genre... macam-macam. Memang kita kena kekal lebih berdaya saing apabila kita menerbitkan filem," katanya.

Berkongsi ini adalah penyertaan pertamanya dalam Marche Du Film, Lee berkata beliau akan menyertai pameran filem itu pada tahun depan jika diberi peluang, bukan sahaja untuk mempromosi dan menjual produk kandungan kreatif keluaran syarikatnya malah sebagai tanda sokongan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia sebagai peneraju.

-- BERNAMA