KUALA LUMPUR: Pelakon utama filem 'Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan', Datuk Adi Putra membuat kemunculan pada tayangan perdana filem Melayu itu di Indonesia, selepas terdahulu dilapor enggan menghadirinya.

Menerusi hantaran di Instagram, Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim, dilihat hadir bersama pelakon Johan As'ari pada malam gala berkenaan, yang berlangsung di Jakarta pada Jumaat.

BACA: Mat Kilau 'cari' Studio Kembara, kecewa sukar dihubungi?

Bagaimanapun, Adi, 41 tahun, yang sebelum ini menzahirkan kekecewaan terhadap syarikat penerbitan filem itu, Studio Kembara Sdn Bhd, memaklumkan kehadiran mereka atas jemputan beberapa pihak lain.

"Terima kasih CBI Pictures Indonesia, Yayan Ruhian (pelakon) dan Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) kerana menjemput saya dan Johan ke Malam Gala Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan di Jakarta," katanya dalam entri tersebut.

Sementara itu, dalam hantaran lain yang dimuat naik Adi, turut kelihatan hadir pada majlis tayangan tersebut ialah pengarahnya, Syamsul Yusof dan barisan pelakon utama filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan iaitu Fattah Amin yang memegang watak Awang serta Ali Karimi (Brahim).

Begitupun, Beto Kusyairy yang menjayakan watak Wahid difahamkan tidak hadir pada majlis berkenaan.


Memetik laporan media, Beto atau nama sebenarnya Nur Kusyairy Zakuan memaklumkan tidak dapat turut serta kerana terikat dengan komitmen lain.

Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan dijangka ditayangkan di 200 pawagam di Indonesia bermula 31 Ogos ini.