BERITA pemergian pengarah tersohor Mamat Khalid awal pagi tadi amat mengejutkan semua terutamanya kalangan penggiat seni.

Namun bagi pelakon dan penerbit Tiara Jacquelina, berita itu amat mengesankan oleh kerana hubungan rapat beliau dengan arwah.

Dalam hantaran di akaun Instagramnya, beliau menceritakan detik menerima perkhabaran duka pada jam 12.30 tengah malam tadi.  




"Ini pastinya hantaran paling memeritkan bagi saya.

"Abang kesayangan saya, legenda yang berbakat besar Mamat Khalid meninggal dunia disebabkan serangan jantung, kira-kira sejam lalu.

"Saya dapat panggilan jam 12.30 tengah malam daripada nombor telefon Mamat, dan panggilan pada waktu sebegini hanya bermaksud:
1. Dia berjaya menyudahkan karya 'masterpiece' yang dijanjikan lama dahulu, atau
2. Berita buruk.

"Anaknya @amenkhalid bercakap di telefon: 'Auntie dah tahu ke, Papa dah pergi dulu... Amen tahu Auntie sayangkan Papa, tu Amen call Auntie ni.

"Saya terkejut hingga tidak mampu berkata apa-apa.

"Ya Allah, jagalah sahabat kesayangan aku ini dan kurniakanlah kepadanya tempat istimewa di syurgaMu.

"Aku rindu kamu, Mat. 'Clamptown Baby' ku selamanya. Doo-da, doo-da. Sayang kamu sangat-sangat.

"Terima kasih atas kehebatan ini. Kamu akan diingati selamanya di atas karya yang tiada taranya.

"Berehatlah, abang. Alfatihah," tulis Tiara di hantaran pada akaun Instagramnya.

Mereka pernah bekerjasama antaranya dalam filem epik legenda Puteri Gunung Ledang, yang dibintangi oleh Tiara Jacquelina dan M. Nasir, di mana Allahyarham merupakan penulis skripnya.

Mamat Khalid atau nama sebenarnya Mohamad bin Mohd Khalid, 58, terkenal sebagai pengarah filem dan penulis lakon layar melalui filem-filem yang bercorak komedi.

Kali pertama beliau menduduki kerusi pengarah ialah pada tahun 2003 menerusi filem komedi sejarah "Lang Buana".

Disebabkan minatnya pada muzik rock, beliau kemudian mengarahkan pula filem kedua "Rock" pada tahun 2005 dan seterusnya "Rock Oo!" (2013) serta "Rock Bro!" (2016).

Karya Allahyarham yang mendapat tempat di hati peminat termasuk "Man Laksa" (2006), "Kala Malam Bulan Mengambang" (2008), "Zombie Kampung Pisang", dan "Hantu Kak Limah".

Karya-karya lain yang turut dikenali termasuk "Pinang Durian", "Rombongan Cik Kiah ke Sukan Komanwel" dan "Abang We".

Mamat pernah memenangi anugerah Pengarah Terbaik di Anugerah Skrin Panca Delima 2001 untuk telefilem "Pinang Durian".

Dilahirkan pada 6 April 1963 di Ipoh, Perak, minat Mamat kepada filem berputik sejak kecil lagi.

Walaupun mendapat tentangan daripada bapanya, ia tidak menghalang minat Mamat untuk menceburi bidang perfileman.

Mamat merupakan adik kepada kartunis Datuk Lat yang terkenal dengan karya "The Kampung Boy" di mana beliau pernah menjadi penterjemah skrip untuk siri animasi karya abangnya.

Berita pemergian Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid, dikongsikan oleh penyair Pyanhabib di akaun Facebooknya.

Mamat Khalid dikejarkan ke Hospital Slim River selepas dilaporkan pengsan di Sarang Art Hub di Tanjung Malim namun disahkan meninggal dunia.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan lima anak.


BACA: Mamat Khalid meninggal dunia 

BACA: Pemergian Mamat Khalid kehilangan bakat tiada pengganti