PELAKON bertaraf antarabangsa Datuk Seri Michelle Yeoh menjadi artis Asia pertama yang dianugerahkan ijazah kedoktoran kehormat daripada Institut Filem Amerika (AFI) atas sumbangannya dalam industri filem.

Menurut laman web AFI, ijazah kehormat itu dianugerahkan oleh dua pengarah filem Daniel Kwan dan Daniel Scheinert pada majlis konvokesyen bagi felo-felo institusi filem itu di Hollywood pada Jumaat.

Gabungan kedua-dua pengarah filem yang digelar sebagai The Daniels itu terkenal untuk filem yang dibintangi Michelle baru-baru ini, Everything Everywhere All At Once.

“Kami amat bertuah mendapat peluang untuk bekerjasama dengan legenda, Michelle Yeoh. Antara perkara pertama yang kami sedar adalah kebaikan hatinya terhadap orang lain,” kata duo pengarah itu ketika menyampaikan anugerah tersebut.

Ketika berucap kepada felo-felo institusi berkenaan, aktres kelahiran Ipoh itu menyarankan kepada artis generasi baharu supaya berpegang kepada cinta terhadap karya mereka dan berani untuk merebut peluang.

“Jika anda berpegang kepada cinta terhadap karya masing-masing, saya berjanji karya itu yang akan mengangkat anda,” ujarnya.

Turut menerima ijazah kehormat pada majlis itu ialah Lawrence Herbert, pengasas dan bekas ketua pegawai eksekutif syarikat Pantone.


Michelle dan Herbert mengikuti jejak artis-artis terkemuka lain yang turut dianugerahkan ijazah kehormat itu seperti Maya Angelou, Jodie Foster, James Earl Jones, David Lynch, Quentin Tarantino dan Angela Bassett.

Sepanjang kariernya, Michelle, 60 tahun, telah mewarnai industri hiburan dengan menampilan dalam lebih 70 filem dan siri televisyen.

Beliau mencipta kejayaan menerusi watak-watak ikonik seperti dalam Crouching Tiger, Hidden Dragon, Memoirs of a Geisha, Tomorrow Never Dies, Crazy Rich Asians serta beberapa filem Marvel Studios seperti The Guardians of the Galaxy dan Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings.