KUALA LUMPUR : Pasaran non-fungible (NFT) global, NFT Pangolin dan Miss Universe Malaysia Organisation (MUMO) menjalin kerjasama dalam mencipta siri koleksi "MUMO NFTs" yang turut dikuasai Zetrix.

Koleksi itu bersempena dengan pengumuman mengenai barisan 15 finalis terbaik yang bakal merebut gelaran dan mahkota Miss Universe Malaysia 2022, sekali gus mewakili negara ke peringkat dunia.

Pengarah Kebangsaan MUMO, Datin Elaine Daly melihat kerjasama itu sebagai satu langkah untuk memenuhi visi merevolusikan pertandingan di Malaysia menjadi trend, urban, relevan dan nyata.

"Saya rasa kami mengambil masa bertahun sebelum memasuki platform digital ini bagi memastikan kami berada sebaris dengan pemain-pemain lain dalam persatuan.

"Ini adalah permulaan bagi kami. Banyak lagi ruang untuk diperbaiki, dan kami juga akan mengadakan gala pada 28 Julai depan. Kami sangat teruja untuk mengadakan gala berkenaan secara fizikal," katanya semasa sidang media di sini pada Khamis. 

Dengan memasukkan konsep NFT ke dalam pertandingan katanya, ia bukan sahaja memberi potensi besar kepada finalis, malah kepada penonton dan rakan kerjasama.

Dalam pada itu, Pengarah Pembangunan Perniagaan (SEA) NFT Pangolin, Mohamad Johan Nasir berkata, peserta akan turut mendapat manfaat dan keuntungan daripada kerjasama terbaharu itu bergantung kepada kreativiti serta kemampuan mereka.

"Ini adalah kali pertama peserta akan dapat pendapatan sikit bergantung kepada berapa banyak yang dipromosikan.

"Ini adalah insentif yang baik dan akan menggalakkan lebih ramai untuk masuk pertandingan akan datang dan ini adalah generasi media sosial, ia (insentif) bergantung jika dia pandai promosi," ujarnya lagi. 

MUMO NFTs menampilkan pelbagai koleksi dengan utiliti berbeza.

Antaranya, koleksi "Universe" menampilkan 15 finalis dalam reka bentuk cakerawala dan koleksi "Competition" yang merupakan edisi terhad dan tersedia untuk bidaan sahaja.

Bidaan tertinggi untuk NFT akan meningkatkan mata undian bagi finalis.

Selain itu, kategori baharu turut diperkenalkan iaitu "Miss NFT" khusus untuk finalis dengan NFT paling popular.