KUALA LUMPUR : Selebriti ternama tanah air, Nabil Ahmad menghargai platfrom yang disediakan oleh Astro yang telah banyak mengetengahkan bakat kecilnya sehingga hari ini.

Menurut artis kelahiran program realiti Astro itu, stesen televisyen satelit itu telah memberi ruang kepadanya untuk mempamerkan bakatnya sehingga mampu mengubah kehidupan.

“Kita kembali ke tahun 2008. Ia merupakan perjalanan yang hebat untuk saya. Astro telah menyediakan pelbagai jenis platform daripada Raja Lawak, Akademi Fantasia dan bermacam-macam lagi.

“Ia memberi peluang buat orang macam saya yang berasal daripada kampung. Kami dipinjamkan dengan bakat yang sangat kecil,” katanya memetik laporan portal Media Hiburan.

Nabil berkata demikian sempena Sambutan 25 Tahun Astro serta Kempen Hari Kebangsaan yang berlangsung pada Isnin.

Mengulas lanjut, Nabil berkata, sepanjang kariernya bersama Astro merupakan perjalanan hidup yang menyenangkannya.

Dalam pada itu, pengacara program hiburan popular Gegar Vaganza itu juga berkongsi hasratnya untuk memberikan tumpuan kepada bidang pengarahan.

“Ketika ini fokus saya tertumpu dalam bidang pengarahan. Saya pun sudah mengarahkan filem saya sendiri yang ditayangkan di saluran Astro First.

“Jadi buat masa sekarang saya ingin berkecimpung didalam kerja-kerja di belakang tabir seperti penulisan skrip, lakon layar dan mudah-mudahan terus jadi pengarah,” katanya lagi.

Sempena Bulan Kemerdekaan dan ulang tahun ke-25, Astro telah melancarkan ‘Astro 25’ menerusi saluran 100 yang bakal menyajikan pelbagai program menarik mulai 16 Ogos hingga 3 Oktober di Astro TV, On Demand, dan Astro Go

Artikel asal boleh dibaca di sini