KUALA LUMPUR: Memahami kesulitan mangsa banjir di beberapa buah negeri terjejas dengan bencana itu, artis tersohor negara, Neelofa mengambil inisiatif mengajak orang ramai untuk sama-sama membantu meringankan golongan yang terkesan.

Dalam hantaran di akaun media sosialnya, usahawan itu memberitahu, menerusi Pertubuhan Kasih Neelofa (PKN), pihaknya akan cuba menyalurkan bantuan kepada golongan yang terjejas.

Bahkan, artis kesayangan ramai itu juga berkongsi talian hotline Pertubuhan Kasih Neelofa 012-2002102 bagi memudahkan mangsa yang terkesan dengan banjir untuk memaklumkan keperluan mereka.

“Bagi yang terjejas dan memerlukan sebarang bantuan, boleh DM (pesanan terus) Instagram Pertubuhan Kasih Neelofa atau layari kasihneelofa.org. Pihak PKN juga sedang berusaha mewujudkan satu link khas untuk memudahkan lagi urusan bantuan.

“Bagi yang sedang mengalami sebarang masalah, atau mengenali sesiapa yang sedang terkesan dengan banjir, boleh hubungi hotline Pertubuhan Kasih Neelofa di talian 012-200 2102… insya-Allah kami akan cuba bantu,” kata kenyataan yang dikongsi di akaun media sosial Neelofa pada Ahad.


Sementara itu, Neelofa dan PKN juga sedang menggerakkan usaha Derma Kilat Tabung Banjir Pertubuhan Kasih Neelofa.

Selebriti itu mengajak orang ramai yang mahu sama-sama membantu boleh menghulurkan bantuan, dengan menyumbang ke akaun CIMB Bank 8604198 113.

“Semoga bantuan ini dapat meringankan lagi beban mereka yang terkesan dengan musibah banjir,” kata kenyataan itu lagi.

PKN yang diasaskan oleh Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor itu pada tahun lalu merupakan platform buat beliau mendekatkan diri dengan masyarakat.

Sejak PKN diwujudkan, Neelofa dan pasukannya sudah menghulurkan pelbagai jenis bantuan kepada golongan yang memerlukan dan sentiasa ke hadapan bersama pihak berkuasa setiap kali musibah atau bencana berlaku.