PELAKON sinetron Bawang Putih Bawang Merah, Nia Ramadhani membelanjakan 500 juta rupiah (RM142,000) setahun sebagai biaya persekolahan anaknya, Mikhayla Zalindra Bakrie.

Menurut laporan portal Kapan Lagi, Nia mendedahkan perkara terbabit menerusi salah sebuah temu bual di program Ngopi Dara yang disiarkan di stesen televisyen Trans TV.

Pengacara program terbabit, Jessica Iskandar bertanyakan Nia mengenai perihal Mikayla yang gemar merakam video tarian di sebuah aplikasi popular.

"Ya, saya bayar belanja sekolahnya mahal-mahal, setahun 500 juta rupiah. Tapi dia katakan kepada saya, cita-citanya cuma mahu merakamkan video di dalam aplikasi terbabit," seloroh Nia.

Mikhayla bersekolah di British School Jakarta dan menerusi pemerhatian di internet, perbelanjaan untuk memasuki sekolah terbabit boleh mencapai sehingga ratusan juta rupiah.

Bayaran masuk untuk ke sekolah tersebut sahaja bermula dari 30 juta rupiah dan itu tidak termasuk dengan perbelanjaan lain.