SATU dunia menantikan filem adiwira Marvel, ‘Spider-Man: No Way Home’ sejak ia diumumkan oleh Marvel Studio bagi Marvel Cinematic Universe (MCU) Fasa 4, akhirnya minggu ini Spider-Man 'menghayun' ke pawagam berdekatan anda.

Selain daripada itu, khabar angin yang kencang bahawa akan ada tiga Spider-Man akan bergabung dalam filem ini turut meningkatkan keterujaan peminat untuk menyaksikan filem ini.

Filem ini juga adalah filem Spider-Man yang pertama menampilkan lima watak jahat di dalam skrin yang sama sehingga trailer filem ini mencecah 57 juta tontonan di YouTube. ‘Spider-Man: No Way Home’ adalah filem ketiga dan sambungkan dari dua siri filem Spider-Man lakonan Tom Holland.

Setelah Mysterio mendedahkan identiti sebenar Spider-Man didalam filem ‘Spider-Man: Far From Home’, Spider-Man berhadapan dengan ancaman dan kecaman orang awam kerana ada yang percaya bahawa beliau yang membunuh Mysterio.

Tambahan pula, insan yang mengenali beliau sebagai Peter Parker dan Spider-Man berada di dalam keadaan bahaya. Satu pujian harus diberikan kepada sutradara filem ini, Jon Watts, kerana beliau tidak berlengah untuk terus menarik perhatian penonton kerana plot filem serta adegan aksi terus ditonjolkan pada awal filem.

Kehadiran Dr Strange juga membantu dalam perjalanan filem ini kerana, setelah Iron-Man tiada, Dr Strange umpama mentor ataupun insan yang Peter Parker akan meminta bantuan jika menghadapi masalah.

Menariknya, terdapat aksi seperti di dalam trailer di mana Dr Strange dan Spider-Man seolah berlawan. Pada pendapat anda, siapa yang akan menang?

Lakonan Tom Holland sebagai Peter Parker dan Spider-Man semakin baik dan matang untuk filem ketiga ini kerana, beliau dapat memaparkan sisi seorang remaja dan adiwira yang bergelut dengan emosi, kehidupan peribadi serta keinginan menyelamatkan semua orang.

William Defoe sememangnya ditakdirkan untuk menjadi Green Goblin kerana beliau memainkan watak ‘mastermind’ ini dengan penuh kegelapan dan misteri. Dibantu dengan Doc Ock lakonan Alfred Molina, Electro, Sandman dan The Lizard, pasti ramai yang teruja untuk melihat kemunculan semua penjahat utama dari filem-filem Spider-Man yang sebelumnya.

Rumusan penulis adalah, ia filem yang terbaik bagi siri Spider-Man lakonan Tom Holland terbitan Marvel Studio dan penutup yang baik untuk tahun 2021 kerana ia mengembalikan nostalgia dan sangat banyak ‘easter egg’ yang ada.

Filem ini sesuai untuk tontonan semua. Segala persoalan bagi ‘multi-verse’ akan terjawab dan anda pasti tidak sabar bagi menantikan kesinambungan bagi MCU Fasa 4. Bagaimanapun, Marvel Studio perlu menambah baik masa skrin bagi adegan aksi serta sinematografi.

(Pesanan dari penulis, masuk awal dalam pawagam dan jangan keluar awal.)