INDIVIDU yang mengambil kedua-dua suntikan vaksin COVID-19 akan diberikan sijil vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera.

Selain itu mereka juga diberikan kad vaksinasi.

Nourul kini berhijrah ke Bali, Indonesia bagi memenuhi impian suaminya, Eric Daniel Depp.

Penyanyi itu turut membawa tiga cahaya mata mereka iaitu Zachary, 8, Raphael, 6 dan Isabella, 2.

Manakala Ayu Nazirah, anak daripada perkahwinan terdahulu bersama Ajai tidak ikut serta.

Menerusi hantaran sebuah video dan kapsyen di akaun Instagramnya, penyanyi lagu ‘Kerana Terluka’ itu menasihatkan orang ramai supaya menyimpan kad vaksinasi dengan baik.

Kad berkenaan diberikan di Pusat Pemberian Vaksin kepada penenerima selepas suntikan vaksin COVID-19.

Menurut Nourul kad vaksinasi yang diberikan sangat penting untuk kegunaan ketika berada di luar negara kerana mereka di sana tidak mengambil kira sijil vaksinasi digital mahupun dalam talian.

“Kad vaksinasi ni jangan hilang ye. Nanti kalau sempadan sudah dibuka, berguna sangat-sangat.

“Sebab negara lain tidak akan memuat naik rekod vaksin. Jadi kita perlukan ini,” tulis Nourul mengenai kad vaksinasi yang diperolehinya di Malaysia.




* Artikel asal disiarkan di Mingguan Wanita.