Filem ’Ola Bola’ mengungguli kategori teknikal dalam Festival Filem Malaysia ke-28 selepas berjaya meraih tiga trofi termasuk ’Lagu Tema Asal Terbaik’ melalui lagu berjudul, ’Arena Cahaya’ di acara pembukaan anugerah berprestij yang berlangsung di Studio Sound Stage, Ulu Kelang di Ampang, Selangor malam tadi.

Lagu berentak ’folk’ hasil nukilan, Zee Avi dan Rendra Zawawi cukup menarik merupakan runut bunyi asal filem, ’Ola Bola’ sentuhan pengarah, Chiu Keng Guan.

Diterbitkan oleh Astro Shaw, ’Ola Bola’ turut berjaya meraih anugerah Pereka Kostum/Busana Terbaik oleh Elaine Ng dan Weng Shum; dan Skor Muzik Asal Terbaik (Onn San dan Alex San).


Malam perasmian FFM28 dihadiri oleh Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dan Ketua Pengarah FINAS, Datuk Kamil Othman.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Produksi Datuk Fauzi Ayoh, Ketua Pengarah Produksi dan Komunikasi Pengerusi FFM28 Datuk Yusof Haslam.

Sebanyak 10 kategori telah dianugerahkan seperti Pereka Kostum/ Busana Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Kesan Visual Khas Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik, Lagu Tema Asal Terbaik, Filem Animasi Pendek Terbaik, Filem Pendek Terbaik, Filem Dokumentari Terbaik dan Anugerah Penggiat Belakang Tabir

Filem terbitan KRU Studios, ‘Cicakman 3’ meraih trofi Kesan Visual Khas Terbaik dan kategori Penataan Muzik Terbaik dinobatkan kepada Imaginex Studios Sdn Bhd melalui filem seram, ‘Munafik’.

Filem di dalam Bahasa Kantonis, ‘Huat The Fish’ arahan Silver Yee dianugerah trofi Penataan Seni Terbaik.

Antara penyampai anugerah yang turut memeriahkan malam perasmian adalah Micheal Ang, Nizam Razak, Sanjay Kumar, Nasha Aziz, Emma Maembong, Sabrina Ali, Rizal Haleem, dan Adeline Tsen.

Acara ini telah diterajui oleh Sharifah Shahora dan Wan Syarul, acara turut menampilkan persembahan dari Datuk Hattan, Adira, Elyana, Hazama dan Kumpulan Votez.

Malam kemuncak FFM28 akan berlangsung di Dewan Plenary, Kuala Lumpur Convention Centre di ibu negara esok.

'Ola Bola' mendahului senarai FFM28 apabila menerima 14 pencalonan termasuk Pengarah Terbaik Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia dan Lakon Layar Terbaik Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia.

Berikut senarai pemenang:

Pereka Kostum/Busana Terbaik: Elaine Ng/Weng Shum (Ola Bola)

Penataan Seni Terbaik: Wong Jee Meng/Nick Wong (Huat The Fish)

Kesan Visual Khas Terbaik: Yusry Abdul Halim (Cicakman 3)

Penataan Bunyi Terbaik: Imaginex Studios Sdn Bhd (Munafik)

Skor Muzik Asal: Onn San/Alex San (Ola Bola)

Lagu Tema Asal Terbaik: Zee Avi & Rendra Zawawi – Arena Cahaya (Ola Bola)

Filem Animasi Terbaik: Wau Animation (Ejen Ali)

Filem Pendek Terbaik: Entropy Studios Sdn Bhd (RM10)

Filem Dokumentari Terbaik: Dosfella Sdn Bhd (Boat People)

Anugerah Penggiat Belakang Tabir: Mohd Noor Tagaya