PENYAMPAI Radio Era, Fazziq Muqris menolak dakwaan bahawa panggilan misteri seorang pemanggil wanita yang mengilai di akhir perbualan sebagai satu taktik 'marketing'.

Menurutnya, jika kejadian itu adalah satu taktik, sudah pasti ia sudah lama dirancang oleh pihak radio.

"Ini bukan 'marketing'. Saya rasa ramai yang tengok video tersebut dan boleh lihat macam mana reaksi saya ketika itu.

"Saya juga seorang pelakon, namun reaksi yang anda lihat dalam video itu adalah benar.

"Lagipun kalau nak cakap ini 'marketing', mungkin sudah lama saya rancang benda ni dan buat lebih lagi daripada apa yang anda saksikan," katanya kepada Astro AWANI.

BACA: Fazziq terima panggilan pendengar mula-mula menangis minta tolong, tiba-tiba mengilai

Bagi Fazziq, terdapat banyak lagi kaedah atau cara lain yang boleh dilakukan berbanding apa yang tular baru-baru ini jika benar ia adalah untuk 'marketing'.




Pada masa sama, Fazziq yang juga pelakon dalam siri Astro Original, "Projek: High Council" meminta orang ramai yang berniat untuk melakukan 'prank' sebegitu agar menghentikannya.

Baginya, perkara ini bukan satu bahan jenaka dan sekali gus boleh memberi impak negatif kepada orang lain.

“Kalau nak buat 'prank' macam ini, tolonglah hentikan. Nak buat dekat saya, mungkin saya boleh terima. Tapi benda ini mungkin bagi impak negatif kepada orang lain juga,” tambahnya.

Terdahulu, Fazziq Muqris berdepan dengan situasi menyeramkan semasa ke udara apabila pemanggil wanita yang ke udara bersamanya tiba-tiba mengilai panjang di akhir perbualan.

Video kejadian yang sempat dirakam seorang pendengar @SyakireenOthman ketika Fazziq bersiaran langsung itu tular di media sosial dan menimbulkan reaksi pelbagai dalam kalangan netizen.