KUALA LUMPUR: Selepas lebih 35 tahun hidup bersendirian, penyanyi senior terkenal, Salamiah Hassan kembali memikul tanggungjawab sebagai isteri kepada Gerry Hughes.

Salamiah, 71, dan Hughes, 68, disatukan sebagai suami isteri dalam majlis akad nikah yang berlangsung di Burnie, Tasmania, Australia hari ini.

Menurut penyanyi yang terkenal dengan lagu Menghitung Hari dan Gelombang itu, dia dan Hughes mula mengenali antara satu sama lain sekitar 15 tahun lalu sebagai kenalan biasa.

Bagaimanapun, takdir mengubah segala-galanya apabila kedua-dua mereka sepakat untuk membawa
hubungan persahabatan ke fasa yang lebih serius.

“Semuanya berlaku sangat pantas. Selepas berbincang dari hati ke hati serta mengambil kira pandangan seluruh ahli keluarga, kami memilih disatukan sebagai suami isteri.

“Alhamdulillah, segala urusan berjalan lancar dan dipermudahkan. Saya bersyukur Allah menemukan saya dengan seorang lelaki yang budiman selepas sekian lama saya bersendirian,” kata Salamiah kepada Astro AWANI ketika dihubungi melalui panggilan video sebentar tadi.

Memandangkan sudah bergelar isteri, Salamiah memberitahu, akan menetap di Australia bersama suaminya.

Bagaimanapun, Malaysia, katanya, akan sentiasa kekal di hati.

“Saya sudah ada tanggungjawab baru di Australia, saya harus berada di sisi suami saya. Namun, Malaysia sentiasa kekal di hati, saya pasti akan berulang-alik antara Malaysia dan Australia,” kata Salamiah yang juga ibu kepada penyanyi terkenal, Atilia itu lagi.

Salamiah dah Hughes disatukan dalam majlis akan nikah yang dikendalikan oleh seorang jurunikah yang juga berasal dari Malaysia.

Menurut Salamiah, selama hidup bersendirian selepas berpisah dengan suami pertama, beliau tidak pernah terfikir akan kembali menjadi isteri orang.

Sebagai seorang wanita yang berdikari, Salamiah berkata, urusan jodoh dan pertemuan diserahkan kepada Allah termasuk bertemu Hughes yang berasal dari Liverpool tetapi kini menetap di Australia.

“Alhamdulillah, saya ditemukan dengan seorang lelaki yang baik. Yang penting anak-anak dan ahli keluarga saya menerima kehadirannya dengan baik. Begitu juga dengan keluarga Hughes juga sangat menyenangi saya.

“Saya berdoa kepada Allah agar segala urusan saya dan suami dipermudahkan,” ujar Salamiah lagi.

Selain Atilia, Salamiah juga mempunyai seorang lagi anak lelaki, Raja Ahmad Shah.