BINTANG Bollywood, Katrina Kaif dan Vicky Kaushal melangsungkan perkahwinan pada Khamis di Six Senses Fort Barwara, sebuah hotel mewah yang terletak, di Rajasthan, India.

South China Morning Post melaporkan, pelakon kelahiran Hong Kong berusia 38 tahun itu dan pasangannya, juga seorang pelakon, menjemput lebih 120 tetamu ke majlis yang berlangsung selama empat hari itu.

Seramai 100 tukang masak diterbangkan khas untuk menyediakan juadah buat tetamu, terdiri daripada gabungan masakan Punjabi dan Inggeris.

Pelukis inai terkenal dari Dubai juga dijemput untuk menata rias pengantin perempuan dan pengiringnya.

Pasangan itu dikatakan menetap di suite mewah hotel tersebut, yang bernilai AS$10,000 (RM42,162) untuk satu malam, dan turut merangkumi kolam renang peribadi, jakuzi dan taman berlandskap.

Mereka yang dijemput perlu bersetuju dengan syarat yang tidak membenarkan hadirin membawa telefon bimbit dan tiada kontak dengan orang luar sehingga majlis perkahwinan selesai.

Portal This Week In Asia pula melaporkan kawalan ketat itu adalah kerana hak rakaman majlis telah dijual pada harga AS$11.5 juta (RM48.5 juta). Tidak dapat dipastikan pihak yang membeli hak rakaman berkenaan.

Situasi ini sama dengan perkahwinan Priyanka Chopra dan Nick Jonas pada 2019, di mana majlis itu distrim dalam format dokumentari.