Sejak dari kecil lagi, kebanyakan dari kita dibesarkan dengan iklan-iklan PETRONAS terutama sekali apabila menjelang Hari Raya Puasa, Tahun Baru Cina, Deepavali dan juga Hari Kebangsaan.

Iklan-iklan tersebut memberi kesan yang mendalam kepada kita kerana ia menyentuh kenangan-kenangan indah serta semangat perpaduan di antara kaum dan juga keindahan budaya dan tradisi setiap kaum.

Hari ini, Petronas sekali lagi melancarkan sebuah kempen sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Filem web selama tiga minit itu mengisahkan seorang kanak-kanak perempuan bernama Ani yang tinggal di kampung, serta perjalanan keluarganya ketika persiapan dan sambutan Hari Raya.

ani
Riuh: Watak utama, Ani sedang menangkap ayam bersama keluarganya. Foto ehsan Petronas

Penonton juga dibawa mengimbau suasana sambutan Hari Raya sewaktu kanak-kanak dan gelagat masing-masing ketika rumah dipenuhi ahli keluarga dan saudara-mara.

Menurut Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Norliza Kamaruddin, iklan Hari Raya itu mengingatkan masyarakat Malaysia supaya menghargai adat resam dan warisan serta kepentingan hubungan kekeluargaan.

ani
Beratur panjang untuk ke bilik air. Foto ehsan Petronas

"Filem web ini membawa pesanan tentang nilai-nilai murni yang kita pelajari dari ibubapa kita yang akan diajarkan kepada anak-anak kita menerusi tradisi keluarga yang diwarisi secara turun-temurun," katanya.

Ketika ditanya Astro AWANI mengenai idea untuk iklan tahun ini, katanya tema yang dipilih berdasarkan nilai-nilai murni kekeluargaan serta intipati sambutan Hari Raya.


Selain itu, Norliza turut akui berasa sedih dan gembira apabila menyaksikan filem tersebut kerana ia mengingatkan beliau kenangan manis menyambut Hari Raya sewaktu zaman kanak-kanak.

"Waktu itu walaupun tidur di atas lantai beramai-ramai tetapi perasaan susah tu tak ada... sebab semua tidak sabar hendak kacau dodol dan bermain mercun. Memori itu yang kita akan ingat... penuh nostalgia," ujarnya.


Filem ini ditayangkan dengan iringan lagu klasik 'Suasana Hari Raya' yang dimainkan menggunakan ukelele, dan disiarkan di laman Youtube rasmi Petronas, iaitu http://youtube.com/PETRONASOfficial mulai hari ini.

Selain web, filem pendek yang bertajuk 'Ke Pangkuan Bonda' itu juga akan disiarkan di seluruh negara mulai hari ini hingga 10 Ogos, sebagai iklan 60 saat yang merupakan rangkuman daripada filem tersebut.

Saksikan 'Ke Pangkuan Bonda':