LONDON: Kumpulan rock Britain, Pink Floyd mengeluarkan lagu terbaharunya setelah hampir tiga dekad bagi mengutip derma untuk rakyat Ukraine.

'Hey Hey Rise Up' menampilkan gabungan Pink Floyd iaitu David Gilmour dan Nick Mason, bersama penyanyi Ukraine, Andriy Khlyvnyuk daripada kumpulan Boombox.

Lagu itu menampilkan Khlyvnyuk menyanyikan lagu patriotik Ukraine daripada klip yang dirakamnya di hadapan Katedral St Sophia di Kiev yang tular di media sosial.

Gilmour berkata video itu membuatkan dirinya terkesan sehingga merasakan mahu meletakkannya di dalam lagu.

Pink Floyd berjaya menghubungi Khlyvnyuk bagi mendapatkan kebenaran ketika penyanyi itu dirawat di hospital susulan kecederaan serpihan mortar.

Selepas pencerobohan Rusia, Khlyvnyuk, yang ketika itu berada di Amerika Syarikat, telah kembali ke Ukraine bagi menyertai unit pertahanan wilayah.

Hasil jualan lagu itu akan disalurkan kepada dana bantuan kemanusiaan Ukraine.