SINONIM dengan tema #tetibaAME2021, Anugerah Meletop ERA 2021 mencuit hati penonton apabila berjaya 'memutar-belit' plot dalam segmen Anugerah Khas MeleTOP.

Dewan bertukar riuh dengan tepukan dan jeritan apabila pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi mengumumkan 'dirinya' sendiri sebagai penerima Anugerah Khas MeleTOP sebagai penghargaan ke atas sumbangan dan komitmen beliau dalam mengangkat martabat industri pengacaraan dan seni tanah air.  

Mesra dengan panggilan Pak Nil, Aznil mengakui amat teruja dan tidak menyangka menerima anugerah berkenaan, apatah lagi mengumumkan sendiri siapa penerimanya. 

“Paknil memang tidak sangka sama sekali dan tidak terfikir pun bahawa nama yang diberikan kepada Pak Nil adalah nama palsu dan bukan nama sebenar.”

Paknil, 59, kelihatan terpaku ketika berada di atas pentas sebelum trofi anugerah dipersembahkan kepadanya. Usai klip video memaparkan biodata pemenang, Paknil terus mengalirkan airmata, terharu dengan penghargaan yang diterima. 

Sejurus itu, pengacara Anugerah Meletop ERA 2021 (AME2021), Nabil Ahmad naik ke pentas untuk memeluk mentornya sambil diperhati pengacara bersama, Sherry A-Hadad dan Jihan Muse. 

Apa yang lebih signifikan dan menyentuh perasaan ialah trofi anugerah itu disampaikan oleh protege (anak murid) Pak Nil, Nabil. 

“Apabila Pak Nil membaca karakteristik penerima anugerah, Paknil tidak tahu pun itu adalah Pak Nil, walaupun setelah video terpapar di kaca televisyen, Pak Nil masih lagi keliru sehinggalah Nabil (Ahmad) memberitahu bahawa Pak Nil adalah pemenang yang sebenar," katanya, ketika ditemui  Astro AWANI di AME2021 pada malam Ahad.

"Saya tidak pasti sumbangan saya selama ini memberikan impak besar kepada industri hiburan tanah air, namun saya berbangga kerana anak didik saya yang saya bimbing lebih 20 tahun lalu, kini salah seorang penerbit AME2021," kata Paknil, yang sudah lebih 32 tahun menyerikan industri pengacaraan dan hiburan tempatan. 

Pada masa sama, Pak Nil turut menzahirkan penghargaan beliau kepada peminat dan rakan-rakan artis yang tidak pernah lelah memberi sokongan terhadapnya. 

Sebelum ini, Anugerah Khas MeleTOP telah diberikan kepada Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di atas sumbangan beliau keika musim pandemik COVID-19.

AME2021 berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan disiarkan secara 'live' di saluran Astro Ria dan Astro Ria HD.