KUALA LUMPUR: Pelakon Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin mengakui, dia tidak sabar untuk dilepaskan daripada perkahwinan dengan suaminya, Syamsul Yusof.

Kata Puteri Sarah, 38, apa yang diharapkannya ialah Syamsul melafazkan cerai terhadapnya seperti dipersetujui bersama sebelum ini bagi memberi peluang kepadanya untuk memulakan hidup baharu dengan lebih tenang.

"Saya tak sabar dan gembira. Saya nak 'move on', tolong doakan. Harapnya Syamsul lafazkan. Kalau lepaskan, saya rasa macam kehidupan baharu saya bermula.

"Saya berharap semoga kami selesaikan dengan baik dan dipermudahkan. Percepatkan kes dan tiada lagi pergaduhan atau tidak puas hati, saya mahu selesaikan semua hari ini.

"Sebab saya ada banyak lagi kerja tertangguh dan bulan hadapan saya mahu terbang ke Jakarta, saya mahu mulakan penggambaran di sana.

"Jadi, kalau boleh saya mahu selesaikan semua cepat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini pada pukul 9.20 pagi.

Hari ini, Mahkamah Rendah Syariah akan mendengar prosiding lafaz cerai yang dijadualkan di hadapan Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas pada jam 11 pagi ini.