CHICAGO: Penyanyi R&B R Kelly didapati bersalah pada Rabu di mahkamah Chicago atas beberapa tuduhan berkaitan dengan pornografi kanak-kanak.

Kelly, atau nama sebenarnya Robert Sylvester Kelly, didapati bersalah atas enam tuduhan berkaitan dengan penderaan seksual kanak-kanak, pembikinan filem lucah membabitkan kanak-kanak serta tuduhan menyembunyikan kesalahan itu.

Bagaimanapun penyanyi berusia 55 tahun itu didapati tidak bersalah atas tujuh tuduhan lain.

Kelly merupakan antara individu paling menonjol yang didapati bersalah atas tuduhan penderaan seksual semasa pergerakan #MeToo baru-baru ini.

Sepanjang perbicaraan lima minggu itu, beberapa wanita memberitahu panel juri mereka telah didera secara seksual oleh Kelly semasa mereka kanak-kanak.

Pada Jun lepas, Kelly dihukum penjara 30 tahun susulan sabitan berkaitan kes penderaan seksual ke atas kanak-kanak dan wanita di mahkamah New York.

BACA: Penyanyi R Kelly dipenjara 30 tahun

Dia dituduh menggunakan status selebritinya untuk mengumpan wanita menjadi mangsa.

Kelly juga bakal menghadapi tuduhan di beberapa negeri lain termasuk Illinois dan Minnesota.