Golden Screen Cinemas (GSC) dilaporkan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang bertindak merakam dan menyiarkan sedutan filem yang ditayangkan di pawagam mereka.

Ia sebagai respon kepada tindakan Little Miss Khan yang merakamkan beberapa babak dalam filem House of Gucci di Instagram Story peribadinya ketika menonton filem berkenaan, baru-baru ini. 

‘’Merakam kandungan filem adalah dilarang sama sekali. Kami memandang isu ini secara serius dan sudah melaporkan insiden ini kepada pemilik hak cipta untuk tindakan lanjut, terima kasih kerana melaporkan perkara ini.

‘’Pemilik hak cipta, United International Pictures (UIP) juga sedia maklum akan insiden ini dan akan mengambil tindakan selanjutnya,’’ katanya.


Terdahulu seorang pengguna Twitter, Aysha Ridzuan mempersoalkan tindakan adik Neelofa yang memuat naik beberapa keeping gambar daripada laman Instagram, Little Miss Khan yang merekodkan aksi filem itu.

House of Gucci arahan Ridley Scott dibintangi pemenang Anugerah Akademi, Lady Gaga, Adam Driver, Jared Leto dan Salma Hayek.

Ia akan ditayangkan secara serentak di seluruh negara bermula 13 Januari depan.