MALAM pertama Konsert A Night With Aina Abdul 2.0 berlangsung dengan jayanya di Istana Budaya, Kuala Lumpur malam tadi.

Selain kemantapan vokalnya, paling mencuri tumpuan adalah busana pertama dikenakan Aina, 29, yang mempunyai perincian rambut sebagai material utamanya.

Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Gani, berkata, persalinan rona hitam tersebut terhasil menerusi perbincangan bersama penata gayanya, Abu Shaef Hamza.

“Kesemua persalinan ada ceritanya masing-masing. Outfit yang pertama boleh dikatakan sebagai the alter-ego of Aina Abdul.

“Menggunakan lebih daripada 150 unit rambut, kita import rambut-rambut itu dan rambut di atas baju saya itu adalah rambut sebenar.

“Agak berat untuk dipakai tetapi selesa dan kukuh. Persalinan tersebut dibuat pereka Melinda Looi.

“Sebenarnya idea untuk menggunakan material rambut sebenarnya datang hasil perbincangan bersama Abu. Ketika itu konsert ini belum lagi terjadi atau dibincangkan.

“Tetapi saya selalu beritahu Abu, saya mahu gunakan material rare yang mana orang tak kan terfikir. Apa lagi yang boleh bagi atau dipersembahkan.

“Abu tunjuk saya satu foto, saya pernah nampak satu foto ‘baju rambut’ tetapi foto yang Abu tunjuk itu saya tidak pernah tengok lagi dan saya tertarik,” katanya ketika ditemui Gempak.

BACA: A Night With Aina Abdul 2.0: Pakai busana 'rambut', Aina tak sabar menanti komen netizen

Aina ditemui pada Sidang Media Konsert A Night With Aina Abdul 2.0 sejurus tamat konsert.

Tambah Aina, dia bersyukur kerana mempunyai barisan skuad yang komited dan membawa kepada penghasilan sesuatu yang diidam-idamkan.

“Saya tertarik dan pereka yang saya terfikir ketika itu ialah Melinda Looi memandangkan beliau selalu berfikir di luar kotak.

“Sebab itulah kita panggil busana tersebut sebagai The Hair Outfit. Jujurnya saya tidak sabar untuk melihat apa reaksi peminat di luar sana dengan persalinan ‘rambut’ itu.

“Bagi saya ia persalinan yang brilliant. Tak pernah difikir orang tetapi berkat pasukan saya, kami bersama-sama seterusnya dapat menghasilkan sesuatu yang sangat berbeza,” katanya lagi.

Selain persalinan berkenaan, dua lagi busana turut digayakan Aina malam tadi iaitu gaun kembang rona jingga rekaan Zaimi Zulkafli dan gaun sarat tassel rekaan Rizaman Ruzaini.

Baju ilham Kuntum pula dipakai Aina khas untuk sidang media dan sesi meet and greet bersama penonton. -Gempak