KUALA LUMPUR: Dengan hanya sekali lafaz, aktor ternama tanah air, Remy Ishak, 39, kini bergelar suami kepada Roszaliza Yusof, 38, atau Ezza selepas disatukan dalam majlis ringkas hari ini.

Pasangan berkenaan diijabkabulkan oleh abang Ezza, Rozman Yusof di Masjid Negara, di sini.

Pada majlis akad nikah itu, pelakon filem Sangkar dan Cun itu turut menghadiahkan sebentuk cincin sebagai mas kahwin kepada isterinya.

Memandangkan negara masih lagi dibelenggu oleh krisis kesihatan ekoran penularan pandemik COVID-19, majlis pernikahan pasangan itu berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Agama Islam Kuala Lumpur (JAWI).

Sehubungan itu, majilis akad nikah Remy dan Ezza hanya dihadiri pasangan mempelai dan wali.

Menurut Remy, dia amat bersyukur kerana majlis pernikahannya itu berjalan lancar.

 “Maka bermulalah perjalanan baharu bagi kami sebagai pasangan suami dan isteri, mohon mendoakan kebaikan  dan kesejahteraan buat kami berdua,” kata pelakon kelahiran Melaka itu dalam kenyataan media yang dikeluarkan pengurusannya.

Sebelum ini, Remy dan Ezza sudah tiga kali menangguhkan acara pernikahan mereka berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Remy atau nama sebenarnya, Mohammad Zalimei Ishak dan Ezza sudah saling menyulam cinta selama lapan tahun dan pernah mengikat tali pertunangan selama dua tahun sebelum berakhir pada 2019.

Walaupun tali pertunangan mereka pernah berakhir, namun ujian itu menjadikan mereka lebih matang dalam perhubungan.

Remy sebelum ini telah membuat pengumuman esklusif melalui satu temuramah bersama program Gempak TV di Astro Ria Saluran 104 HD tentang tarikh pernikahannya.

BACA: 3 kali tangguh pernikahan akibat PKP, Remy dan Ezza akhiri penantian 8 tahun