DUA kumpulan dengan nama sama, "Search", yang antaranya masih dianggotai jentera lama yang terpecah dua memang membuat peminat tegar kumpulan legenda negara ini ‘berbalah’.

Bukan sedikit pandangan dan kritikan yang dilontarkan, malah sang vokalis, Amy diserang dengan pelbagai cercaan bukan sahaja dalam kalangan peminat tetapi penggiat seni tempatan sendiri.

Selaku kumpulan rock paling berpengaruh di Malaysia, Search dengan kebanyakan anggotanya sudah melewati usia 55 tahun dan ke atas selain lebih 40 tahun menakluk pasaran muzik tidak seharusnya berdepan isu Search 1, Search 2; begitulah sekurangnya isu yang menjadi perbualan.

Enggan menoleh ke belakang dan ambil pusing keriuhan penggunaan nama sama, Search yang kini kembali bersama anggota asal termasuk Amy, Man Kidal, Nasir dan Hillary memilih bersifat profesional.

Apa yang lebih penting buat Search sekarang adalah karya yang mahu mereka persembahkan kepada peminat.

“Saya selalu ambil ia santai. Dalam hidup memang akan selalu ada dugaan.

"As long ambil ia (dugaan) berbesar hati dan reda akan selalu ada rezeki.

"Rezeki dia dia makan, rezeki kita, kita makan.

“Jika orang masih bercakap tentang isu ini, saya sebolehnya letak ia ke tepi.

"Saya sudah 64 tahun, saya ambil ia positif.

"Percaya kepada Allah,” ujar Amy tanpa mahu menidakkan kritikan dan pendapat umum terhadap kemelut penjenamaan Search.

Lantaran itu, sebuah single hampir menyapa halwa telinga peminat dan rencana konsert berskala besar sikit lagi terlaksana.

“Jadi dengan ini kami mengumumkan Search akan melakukan konsert berskala besar pertama kami selepas pandemik yang diberi judul Konsert Endemik Search pada 4 Jun depan.

“Ia akan diadakan di Zepp Hall Network Inc dengan LOL Asia sebagai penganjur.

“Di konsert ini kelak, peminat juga akan pertama kali diperdengarkan single pertama kami, Endemik, secara langsung,” tambah Amy lagi dalam pertemuan santai bersama media pada majlis berbuka puasa bersama Search dan pelajar pusat tahfiz Al Bayan di Kuala Lumpur, semalam.

Di Zepp Hall juga, Search berikrar akan memberi sebuah persembahan terbaik sebagai pengubat rindu buat seluruh peminat. Apa lagi nilai konsert ini melebihi bajet RM1 juta.

“Khalayak akan menyaksikan Search dengan formasi asal dan sesuatu yang lebih matang. Ini juga akan menjadi tanda aras baharu buat kami serta dunia hiburan kita,” ujar Search lagi.


*Artikel asal di Gempak