KOTA BHARU: Keindahan alunan muzik Dhol, pertunjukan Silat Jawi dan Wayang Kulit Tok Dalang Dollah Baju Merah antara yang dipersembah pada hari kedua Riuh x Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Gelanggang Seni di sini semalam.

Bagi pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan dari Sabah, Ethel Deidre Daniel, 23, beliau teruja kerana dapat mempelajari sedikit sebanyak tentang seni Silat Jawi.

"Saya sendiri ada asas seni silat di Sabah tetapi hari ini, saya belajar satu bentuk baharu dalam silat ini kerana Silat Jawi ada pergerakan yang lain dan membuatkan pergerakan seni silat saya lebih 'versatile,'" katanya kepada Bernama.

Pelajar jurusan Teknologi Makanan Universiti Malaysia Terengganu Nik Nazatul Adani N. Afzainizan, 22, pula gembira kerana dapat belajar bermain gendang Dhol.

"Kita dapat melihat persembahan seni tradisional seperti gendang Dhol dan saya rasa program seperti ini sangat baik sebab semua (pengunjung) pelbagai bangsa dapat bersama-sama belajar seni tradisional, " katanya.

Program kesenian semalam dibawa khas oleh Pengarah Kreatif PUSAKA Pauline Fan dengan kerjasama Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (Cendana) yang bertujuan mengetengahkan seni warisan negeri Kelantan kepada khalayak.

"Acara seperti ini memberi peluang kepada pengunjung belajar dan juga memberi ruang kepada penggiat seni untuk terus menyemai keunikan seni yang ditonjolkan," katanya.

Fan juga gembira kerana dapat membawa Kumpulan Wayang Kulit Sri Warisan Pusaka yang diasaskan oleh Allahyarham Abdullah Ibrahim (Tok Dalang Dollah Baju Merah) yang merupakan Tok Dalang Legenda di negeri Cik Siti Wan Kembang.

"Pada persembahan malam ini, kita bawakan Tok Dalang Nawi iaitu anak didik Tok Dalang Dollah Baju Merah yang sentiasa mengekalkan konsep tradisional seperti yang diajar oleh Allahyarham Ibrahim," katanya.

-- BERNAMA