KUALA LUMPUR: Siri televisyen berdasarkan buku Harry Potter diumumkan secara rasmi untuk saluran Max, Warner Bros, iaitu platform penstriman yang baru diumumkan.

Siri televisyen Harry Potter itu akan dibarisi pelakon baharu dan ia diberikan komitmen selama 10 tahun.

Setiap musim rancangan itu akan berdasarkan salah satu buku dalam francais dengan Warner Bros.

Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa 10 tahun tidak semestinya bermakna 10 musim, cumanya siri ini akan dimainkan dalam tempoh satu dekad.

Menurut Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kandungan HBO & Max, Casey Bloys, pihaknya berbesar hati memberi peluang kepada penonton untuk menemui Hogwarts dengan cara yang baharu.

“Harry Potter adalah fenomena budaya dan jelas terdapat cinta dan dahaga yang berkekalan untuk Dunia Sihir.

"Dengan kerjasama Warner Bros. Television dan J.K. Rowling, siri Max Original baharu ini akan menyelami setiap buku ikonik yang terus dinikmati peminat selama ini," katanya.

Max akan menerbitkan bersama dengan Brontë Film and TV dan Warner Bros. Television.

Rowling akan menjadi penerbit eksekutif bersama Neil Blair dan Ruth Kenley-Letts.

“Komitmen Max untuk memelihara integriti buku ini adalah penting dan saya tidak sabar-sabar untuk menjadi sebahagian daripada adaptasi baharu ini yang akan membolehkan tahap kedalaman dan perincian yang hanya diberikan oleh siri televisyen berbentuk panjang,” kata Rowling .

Pengumuman itu menamatkan spekulasi bertahun-tahun sama ada Dunia Sihir Harry Potter akan membuat peralihan kepada TV atau tidak.

Francais Harry Potter telah terbukti sangat popular di pelbagai media.

Buku pertama dalam siri ini, 'Harry Potter and the Philosopher's Stone' pada asalnya diterbitkan pada tahun 1997 manakala buku terakhir, 'Harry Potter and the Deathly Hallows' mula diterbitkan pada tahun 2007.

Sebagai tambahan kepada buku-buku, yang setiap satunya adalah buku terlaris, terdapat lapan filem 'Harry Potter' setakat ini, yang secara kolektif telah memperoleh lebih daripada AS$7.7 bilion di box office global.

Terdapat juga francais filem 'Fantastic Beasts', tarikan taman tema, mainan dan permainan, termasuk permainan video 'Hogwarts Legacy' yang dilancarkan baru-baru ini.

Terdapat juga rancangan Broadway yang popular 'Harry Potter and the Cursed Child' yang menyajikan sekuel kepada siri buku itu.