Pelakon Nora Danish menjelaskan telah pun mengambil tindakan sewajarnya ke atas sebuah akaun Instagram yang dikenali dengan MissKepohOfficial selepas teruk dihentam menerusi pelbagai foto dan kapsyen.

Menurut Nora Danish atau nama sebenarnya Nora Binti Mohd Danish Hanif, dia tidak pernah terkesan dengan sebarang gambar atau kapsyen yang dimuat naik oleh akaun tersebut.

“Sebenarnya saya tidak terkesan langsung sebab satu post yang dimuat naik oleh dia (Miss Kepoh) rasa lucu dan nak tergelak bila baca.

“Walau bagaimanapun tindakan sewajarnya telah diambil dan hanya masa yang akan menentukan. Kadang kala tak perlu kita membongkar siapa dia di sebalik akaun tersebut, tetapi lambat laun orang akan tahu juga,” jelas Nora Danish sewaktu di pelancaran filem Polis Evo di GSC Pavilion, Kuala Lumpur.

Tambah Nora lagi, dia kini bangkit dan tidak lagi mahu mendiamkan diri selepas sering dihentam oleh umum menerusi laman media sosial.

“Saya sekarang sudah bangkit sebab rasanya sudah lama mendiamkan diri. Jika sebelum ini kalau ada orang hentam di Instagram saya mengambil pendirian untuk mendiamkan diri, tetapi sekarang tidak lagi kerana saya perlu pertahan diri dan tiba masa untuk saya betulkan keadaan,” ujar Nora Danish.

Sementara itu, Nora menafikan dakwaan kononnya kembali menjalinkan hubungan cinta dengan bekas kekasihnya, Nedim Nazri selepas tersebar foto mereka berdua dilihat makan bersama di sebuah restoran baru-baru ini.

“Kami memang sudah berpisah tetapi secara baik dan masih berkawan seperti biasa. Hubungan kami berakhir bukan kerana orang ketiga tetapi cuma ada perkara yang perlu diselesaikan dahulu.

“Biarlah kami selesaikan dahulu perkara tersebut dan jika ada jodoh Insya Allah. Cinta itu tidak semestinya memiliki, cinta itu masih ada tetapi kami tidak bersama,” kata Nora mengakhiri perbualan.