TOKYO: Selamat tinggal, Pikachu! 

Anda pasti tertanya-tanya mengapa?

Mulai 2023, watak ikonik Pokemon kembali menemui peminat, namun tanpa kehadiran bintang terbesarnya, Pikachu yang mengucapkan selamat tinggal selepas 25 musim pengembaraan.

Memetik laporan Manila Times, siri animasi Jepun popular ini mengetengahkan watak tikus eletrik ceria, Pikachu dan jurulatihnya, Ash Ketchum bertarung dengan watak Pokemon lain sejak 1997.

Tetapi setelah memenangi "Siri Pertabalan Dunia Pokemon," pengembaraan seterusnya akan memberi tumpuan kepada watak baharu bernama Liko dan Roy.

“Ia mewakili segalanya yang peminat suka tentang animasi Pokemon, termasuk aksi, pengembaraan, persahabatan dan Pokemon," kata pencipta Pokemon, Satoshi Tajiri.

Watak Pokemon muncul dalam permainan video untuk Nintendo's Gameboy pada tahun 1996, melahirkan francais sekaligus menyaingi Star Wars dan Harry Potter yang menjadi kegilaan kanak-kanak di seluruh dunia.

Pokemon Go merupakan permainan mudah alih yang menggunakan geolokasi dan realiti tambahan untuk meletakkan watak di lokasi dunia sebenar berjaya mencipta fenomena.

Permainan video terbaharu untuk Nintendo Switch, Scarlet dan Purple, terjual lebih daripada 10 juta salinan sejak dilancarkan pada akhir November.