Penyanyi dan pelakon antarabangsa, Selena Gomez mendedahkan dia menghidap penyakit Lupus dan terpaksa menjalani kemoterapi tahun lalu.

Bekas kekasih Justin Bieber itu memberitahu majalah Billboard, ketika semua orang menganggap dia dimasukkan ke pusat pemulihan kerana tekanan apabila hubungannya dengan Bieber berakhir, hakikatnya dia berada di hospital menjalani rawatan.

Dalam temuramah itu juga, Gomez meluahkan rasa kecewa dengan tanggapan masyarakat dan sangat mahu memberitahu khalayak penderitaan yang dialaminya.
"Saya hampir diserang strok sewaktu menjalani kemoterapi. Tetapi anda semua tidak tahu," kata Gomez dalam temuramah itu.

Kini, sokongan tidak berbelah bahagi untuk Gomez dapat dilihat di laman sosial. Tindakan penyanyi kelahiran Texas itu berkongsi perihal penyakitnya juga mendapat pujian memandangkan kurangnya pengetahuan masyarakat tentang bahaya Lupus.








Gomez, 23, membatalkan konsert jelajah Star Dance pada 2014 selepas disahkan menghidap penyakit itu, sekaligus memaksanya 'menghilangkan' diri buat sementara waktu untuk menjalani rawatan.

Ia mencetuskan spekulasi dan peminatnya mula menganggap Gomez berbuat demikian kerana tekanan selepas hubungannya dengan Bieber berakhir.

Lupus merupakan sejenis penyakit kronik yang menyerang sistem imun manusia dan kebiasaannya menyebabkan kerosakan kepada organ seperti kulit, sendi dan buah pinggang.