KUALA LUMPUR : Pelakon Puteri Aishah, 27, selamat melangsungkan majlis pernikahan dengan ahli perniagaan, Muhammad Firdaus, 28, di sebuah hotel di ibu negara pada jam 11.15 pagi tadi.

Bintang yang terkenal dengan drama Selafaz Cinta itu dinikahkan oleh kadi Mohd Abdul Nasir Abdullah dengan bersaksikan bapanya, Sulaiman Abd. Rahman.

Pada majlis itu, Puteri Aishah menerima mas kahwin bernilai RM300 berserta lima dulang hantaran daripada pihak lelaki, sementara pihak perempuan membalas tujuh dulang.

Bagaimanapun, atas permintaan keluarga, jumlah wang hantaran dirahsiakan.

Pelaksanaan majlis tersebut bagaikan satu hela nafas lega baginya yang selama ini terpaksa bersabar dengan ketetapan peraturan kekangan akibat pandemik.

Foto: CST Production

“Alhamdulillah majlis dirancang berjalan lancar selepas beberapa kali ditangguh akibat pandemik COVID-19. Saya bersyukur apabila impian kami untuk melihat perkahwinan ini disaksikan oleh keluarga kedua-dua belah pihak tercapai.

"Saya dan suami juga memohon maaf kerana tidak dapat menjemput rakan-rakan artis yang lain atas sebab Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya.

Mengulas tentang pasangan hidupnya, Puteri mengakui Firdaus memiliki ciri-ciri lelaki idamannya.

"Sepanjang dua tahun mengenali Firdaus, saya menyukai keperibadiannya. Dia seorang yang baik dan mengutamakan keluarga. Dia sangat menyayangi dan meletakkan keluarganya nombor satu.

"Malah, dia juga sentiasa menyokong minat saya dalam bidang lakonan. Dia juga sudah bagi lampu hijau di mana saya boleh teruskan kerjaya ini selama mungkin," jelasnya..

Majlis berskala sederhana itu hanya melibatkan keluarga dan kenalan terdekat kedua-dua belah pihak. Difahamkan, majlis resepsi pasangan berkenaan bakal diadakan pada sebelah malam.

Foto: CST Production