"RASA macam satu mimpi dan ini rezeki Allah bagi untuk kami menjayakan konsert ini. Allah maha kaya," demikian kata-kata penyanyi Ziana Zain usai mengadakan konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), malam tadi.

Berlangsung meriah bermula 9 malam, persembahan kedua-dua adik-beradik popular itu mengukir senyum 2,800 penonton yang hadir.

Mana tidaknya, kali terakhir Ziana mengadakan konsert berskala besar adalah 20 tahun lalu, dan tahun ini rindu peminat serta Zianafolks terubat!

"Saya sebenarnya tak boleh tidur lena dalam seminggu ini memikirkan perjalanan konsert," kata Ziana lagi bersulam canda seawal tirai konsert bermula.

Lagu-lagu popular Ziana & Anuar

Konsert yang berlangsung hampir tiga jam itu menampilkan lagu-lagu hits Ziana dan Anuar, dibuka dengan duet Sangkar Cinta dan Bila Resah secara medley bersama.

Antara lagu popular yang dipersembahkan Ziana adalah Puncak Kasih, Terlerai Kasih, Menadah Gerimis, Anggapanmu dan Madah Berhelah.

Sementara Anuar pula menghiburkan peminat dengan lagu-lagu popularnya seperti Ketelusan Hati, Mungkin, Lelaki Ini dan Keabadian Cinta.

Lebih menyeronokkan, penonton turut berpeluang menyaksikan adik-beradik ini menyanyi secara duet menerusi lagu  Sesuci Cinta Mu, Lembah Asmara dan Di Akhir Garisan.

Malam penuh bersejarah itu turut menyaksikan gabungan kali pertama mereka dalam sebuah konsert di Kuala Lumpur.

"Akhirnya kita disatukan di Kuala Lumpur. Kali pertama konsert kami pada tahun 2010 di Singapura," kata Ziana.

Peminat Anuar Zain menangis

Terharu dengan sokongan dan kehadiran peminat, Anuar bersyukur apabila mereka sanggup meluangkan masa menghadiri konsert pada malam ini.

"Anda boleh pergi ke mana-mana, tapi anda pilih untuk berada di sini. Terima kasih kerana beri aura yang positif.

"Saya tak sangka masih lagi mendapat sokongan yang begitu kuat daripada anda semua," kata Anuar yang sebak dengan respons yang diterima sehingga kini.

Pada konsert berkenaan, terdapat peminat yang gagal menahan air mata sebaik melihat artis pujaan mereka membuat persembahan.

Konsert anjuran Trumpet International Sdn Bhd itu menyaksikan kehadiran rakan-rakan selebriti yang memberikan sokongan.

Antaranya  ialah Misha Omar, Dafi, Datuk A Aida, Scha Al Yahya, Shuib, Awal Ashaari, Datuk Ziela Jalil, Ernie Zakri, Syamel, Fara Fauzana, Noryn Aziz dan Rozita Che Wan.

Tidak ketinggalan, konsert terbabit turut direstui dengan kehadiran ibu bapa selebriti itu iaitu Zin Abdullah dan Robiah Abdul serta anak-anak Ziana.

Konsert Ziana, Anuar di Singapura

Pada penghujung konsert, Ziana dan Anuar berkongsi berita gembira apabila mengumumkan bakal mengadakan konsert di Singapura pada 24 September depan.

"Senarai lagu nanti mungkin ada yang sama, kita tengoklah nanti. Pastinya kami akan cuba lakukan yang terbaik," ulas Anuar. - Gempak