'Semoga rindu ini hilang' - Konsert Tulus di Kuala Lumpur 5, 6 Januari 2023

Faida Rahim
November 15, 2022 04:10 MYT
Tiket dijual pada harga RM950 (VIP), RM550 (Diamond), RM450 (Platinum), RM350 (Gold) dan RM250 (Silver). - Foto Shiraz Projects
KUALA LUMPUR: Penyanyi versatil, Tulus bakal terbang ke Kuala Lumpur untuk menghiburkan peminat di konsert “Fabulous Friday presents Tulus” yang berlangsung pada 5 dan 6 Januari 2023.
Popular dengan lagu-lagu antaranya Monokrom, 1,000 Tahun Lamanya, Hati-Hati Di Jalan dan banyak lagi, ini juga merupakan konsert ketiga Tulus di Kuala Lumpur.
“Lama betul tidak bertemu dengan para peminat di Kuala Lumpur. Semoga rindu ini menghilang ketika kita bertemu di Dewan Plenari kelak.
“Kita bakal menyanyi bersama-sama,” ujar Tulus yang turut tidak sabar bertemu para peminatnya.
Sementara itu, pihak penganjur Shiraz Projects yang sebelum ini membawa Tulus datang ke Kuala Lumpur untuk konsert berbesar hati sekali lagi menganjurkan konsert Tulus.
“Adalah menjadi tanggungjawab kami membawakan semula Tulus ke Kuala Lumpur. Kita sedia maklum Tulus akan muncul dengan lagu-lagu berkualitinya yang akan dibawakan bersama bandnya yang cukup kompak.
“Saya percaya dengan kehadiran Tulus bukan sahaja akan melunaskan kerinduan para peminat tegarnya tetapi juga kita dapat belajar tentang produksi dan karya yang baik dari rakan seni seberang. Hal seperti ini wajar kita kongsi dan bawakan untuk dipersembahkan bukan sahaja sebagai hiburan tetapi pengalaman,” ujar Pengarah Urusan Shiraz Projects, Shirazdeen Karim.
Bertempat di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), suasana kali ini bakal mengamit memori dan momen peminat bersama Tulus di “Fabulous Friday presents Tulus” dan tiket boleh didapati di www.myticket.asia.
Tiket dijual pada harga RM950 (VIP), RM550 (Diamond), RM450 (Platinum), RM350 (Gold) dan RM250 (Silver).
#Kuala Lumpur #konsert #Tulus #Fabulous Friday presents Tulus