PENGARAH popular drama, Shahrulezad atau lebih dikenali sebagai Ijat akui terkejut apabila mendapat tahu khabar pelakon Nad Zainal yang kini dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Ampang Puteri malam tadi.

Ijat memberitahu dia hanya diberitahu pelakon Ungku Ismail tentang keadaan Nad Zainal dan mendoakan agar pelakon utama drama Cina Buta arahannya itu segera sembuh seperti sedia kala.

"Risau sangat. Katanyanya dia diserang radang paru-paru. Saya dapat tahu ni pun dari group cast Cina Buta. Ungku Ismail yang bagitahu.  

"Jadi kami decide tak nak ganggu dia sebab dia di bawah pantauan doktor. Kami cuma back up dengan doa dan solat hajat je. Apa yang saya tahu Nad belum sedarkan diri," katanya kepada Astro Gempak. 

Ijat berkata demikian selepas dihubungi Astro Gempak menerusi aplikasi Whatsapp mengenai berita Nad yang dimasukkan ke ICU. 

BACA: Nad Zainal dimasukkan ke ICU akibat jangkitan kuman di paru-paru 

Kata pengarah drama Cinta Buta itu lagi, kali terakhir dia berjumpa dengan Nad adalah dua minggu lalu.

"Kalau tak silap dua minggu lalu, dia ada datang melawat saya di set Gila Viral. Masa tu dia okie. Sihat.  

"Dia bagitahu yang dia akan masuk set SR One production. Lepas tu kami tak berhubung lah sebab masing-masing sibuk kan.  

"Tup tup hari ni dapat tahu dia dimasukkan ke hospital dan tak sedarkan diri. Allahu," luahnya lagi. 

Lakonan Nad dalam drama terbaharu Cina Buta akan menemui penonton mulai 23 November 2022 menerusi slot Megadrama di Astro Ria 104. 

Kata Ijat dia dan kru juga rasa serba salah untuk mempromosi yang akan ditayangkan esok itu.

"Nak promote Cina Buta pun jadi serba salah dibuatnya. Sama-sama lah doakan dia agar cepat sembuh," ujarnya.