KUALA LUMPUR: Pelakon popular, Sharnaaz Ahmad tampil menjelaskan situasi sebenar berhubung dakwaan dia bertindak kasar terhadap seorang individu dalam kejadian di sebuah kondominium di Segambut, di sini baru-baru ini.

Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad menegaskan, dia hanya membantu mempertahankan seorang pengawal keselamatan yang didakwa sedang bergaduh dengan pengadu yang juga penghuni di kondominium tersebut.

“Di rumah saya ada guard (pengawal keselamatan), salah seorang penduduk iaitu pengadu sedang bergaduh dengan guard sebab tak boleh bawa masuk minyak... tapi itu minyak kawan dia, saya tak nak cerita. Kita pendekkan cerita, bila mamu (Sharnaaz) turun bawah mamu nampak tengah bergaduh.

"Mamu cuba pertahankan guard itu dan kita tak boleh tengok orang ditindas tak kisah bangsa apa, agama apa, warganegara apa... kita tak boleh tindas orang macam ini," katanya dalam rakaman video berdurasi tiga minit yang dimuat naik di laman Instagramnya pada Isnin.


Mengulas lanjut, pelakon berusia 37 tahun itu berkata, tohmahan yang dilemparkan ke atasnya mendakwa dia menendang dan memijak individu berkenaan, sama sekali tidak benar.

"Bila mamu pertahan (guard) berlakulah perkara yang tidak diingini.

"Tetapi mamu nak tegaskan di sini, demi Allah, mamu tidak menumbuk, memijak perut, mencekik, atau menendang perut. Itu semua benda-benda karut dan jangan percaya," tegasnya lagi.

Kes Gaduh | Sharnaaz Ahmad perjelas situasi sebenar


Dalam masa sama, pelakon filem Juvana itu menambah, dia tidak mahu memanjangkan kes tersebut, sebaliknya, menyerahkan kepada pihak berkuasa.

"Kertas siasatan semua sudah lengkap dan ia telah dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya.

"Mereka (pihak polis) akan uruskan perkara itu dan Insya-Allah kita akan tengok kesudahannya.

"Kalau boleh mamu tak nak panjangkan cerita ini dan kita tengok jalan terbaik untuk kedua-dua pihak dan benda ini berlaku pun bukan kita minta dan bila berlaku kita kena terima dengan hati yang terbuka...," ujarnya lagi.

Baru-baru ini, pelakon I Promise Janji Anaqi itu direman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menumbuk dan menendang seorang lelaki di sebuah kondominium di Segambut.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, siasatan ke atas pelakon itu dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 kanun sama kerana melakukan ugutan.

Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-dua sekali.